Paip Sungai Perai bocor: Pulau Pinang pertimbang dua opsyen

Iklan
Kon Yeow (kiri) meninjau keadaan Sungai Perai pada lewat petang Selasa bagi mengetahui keadaan sebenar paip pecah di dasar sungai berkenaan.Foto FB Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan mempertimbangkan dua opsyen untuk membolehkan bekalan air dapat disalurkan semula kepada 120,000 pengguna terjejas akibat paip di dasar Sungai Perai yang pecah pada petang Selasa.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, opsyen pertama adalah dengan membaiki paip bocor itu dalam tempoh 24 hingga 48 jam oleh pakar penyelam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) perlu membetulkan injap agar pakar selam yang dimobilisasi dapat melakukan penilaian terhadap paip di dasar sungai yang pecah itu.

"PBAPP perlu membetulkan injap buat ketika ini supaya pakar selam yang sedang dimobilisasi dapat melakukan penilaian terhadap paip di bawah dasar Sungai Perai.

Iklan

"Sekiranya keadaan mengizinkan, penyelam akan dapat membaiki paip yang bocor itu dan kerja ini dijangka boleh siap antara 24 hingga 48 jam. Ini opsyen pertama," katanya ketika mengadakan lawatan di Sungai Perai pada lewat Selasa.

Beliau yang juga Pengerusi PBAPP berkata, bagi opsyen kedua pula, kerja-kerja pemasangan paip khas iaitu pelencongan paip di sungai berkenaan yang diumumkan sebelum ini akan dipercepatkan.

Iklan

"Selain opsyen pertama, kerja-kerja pemasangan paip alternatif diumumkan sebelum ini yang dimaklumkan mengambil masa 21 hari akan dipercepatkan dan dijangka hanya akan mengambil masa lima hingga enam hari sahaja.

"Kerja-kerja ini sedang giat dijalankan untuk menyiapkan paip pelencongan dan kerja-kerja penyambungan supaya bekalan air dapat disambung ssetelah paip khas disiapkan dalam tempoh enam hari," katanya lagi.

Tambah beliau, kedua-dua opsyen tersebut akan dinilai untuk diguna pakai berikutan ia memerlukan beberapa kerja yang wajib dilakukan sebelum kita menentukan opsyen terbaik bagi menyegerakan pemulihan bekalan air kepada 120,000 akaun pengguna di daerah Barat Daya.

"Kawasan terkesan adalah sama dengan kejadian pada Disember lalu, kawasan ini juga adalah paling lambat dipulihkan ketika operasi pada 10 Januari lalu, iaitu sebahagian besar Barat Daya dan sebahagian daerah Timur Laut iaitu selatan Bukit Dumbar.

"Sementara menunggu kerja-kerja ini siap, PBAPP telah memobilisasikan lori-lori tangki statik, jumbo dan fleksi di kawasan terjejas selain bomba sukarela juga akan diminta untuk membantu.

"Kita juga akan dapat bantuan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menghantar lori tangki dari syarikat-syarikat negeri lain," ujar beliau.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berharap agar bantuan tangki-tangki berkenaan dapat membantu rakyat yang terkesan memperoleh bekalan air dalam tempoh pelaksanaan opsyen sedang dipertimbangkan itu.

"Seperti yang dilakukan pada 10 Januari lalu, kita harap mobilisasi tangki dapat membantu rakyat yang terkesan di kawasan ini untuk memperoleh bekalan air dalam tempoh ditentukan ini.

"Kita akan beri maklumat terkini esok (Rabu) setelah penilaian yang dibuat untuk menentukan kerja-kerja membaiki kebocoran itu dapat dilakukan. Kerajaan negeri dan PBAPP memohon pengguna terkesan agar bersabar dengan keadaan kecemasan ini," katanya.

Pada Selasa, PBAPP memaklumkan pihaknya telah mengesan kebocoran besar pada bahagian saluran paip 1,350 milimeter (mm) di dasar Sungai Perai yang menyebabkan berlaku gangguan bekalan air kepada kira-kira 200,000 pengguna di negeri ini.

PBAPP memaklumkan pihaknya sedang berusaha untuk mengepam air melalui saluran paip pada aliran minimum.

Langkah ini mungkin membawa kepada gangguan bekalan air kepada kira-kira 200,000 pengguna di daerah Barat Daya dan beberapa kawasan di Seberang Perai.