Agong masih terkenang-kenang Kembara Kenali Borneo

Iklan
Al- Sultan Abdullah berkenan melambai orang ramai sempena Kembara Kenali Borneo. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sudah lebih empat bulan Kembara Kenali Borneo melabuhkan tirainya, namun lagu Bekikis Bulu Betis dan Hanya di Sabah masih menjadi siulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dua lagu yang terkenal dalam kalangan rakyat Sarawak dan Sabah itu sering dimainkan dalam kembara di dua negeri berkenaan pada September tahun ldi dua negeri berkenaan pada September tahun lepas.

Iklan
Iklan

"Sampai hari ini Tuanku masih terkenang-kenang Kembara Kenali Borneo, Tuanku akan tengok video yang dirakamkan, malah sehingga kini lagu yang didengar Seri Paduka ialah lagu-lagu kembara,” kata Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Datuk Nazim Mohd Alim dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Lagu Iban bertajuk Bekikis Bulu Betis yang dicipta dan dinyanyikan Andrewson Ngalai dan Hanya di Sabah oleh penyanyi Dabra Sia, merupakan antara 'lagu wajib' yang sering dimainkan sepanjang majlis keramaian di Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu itu.

Iklan

Seri Paduka, yang ditemani Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta paduka anakanda berkenan mengetuai konvoi dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda mengharungi perjalanan sejauh 2,332 kilometer.

Merentasi Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei, program kembara berkenaan diadakan buat julung kali bagi memberi peluang kepada rakyat Sabah dan Sarawak mendekati Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta anakanda baginda.

Iklan

Menerusi Kembara Kenali Borneo, Nazim berkata, sifat Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong yang baik hati dan merendah diri amat terserlah apabila tanpa segan dan kekok, baginda berdua beramah mesra dengan rakyat jelata serta makan dan berhibur bersama-sama.

Sebagai tanda kasih dan rindunya kepada rakyat Sabah, beliau berkata, Al-Sultan Abdullah menitahkan sendiri Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah membuat persembahan pada Majlis Santapan Malam Sempena Memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 pada Oktober tahun lepas.

Sehingga kini, Seri Paduka juga menurut Nazim, masih menyimpan rasa teruja dengan sambutan hangat yang diberikan oleh rakyat Sabah dan Sarawak, walaupun pada awalnya tujuan utama baginda berdua hanyalah untuk bercuti di kedua-dua negeri itu.

"Kita jangka orang akan tunggu Seri Paduka, tapi tidak sangka seramai itu, sambutan begitu luar biasa, terlalu ramai yang datang sehingga ada yang duduk di atas jalan (sambil menunggu),” katanya.

Nazim turut menunjukkan fail mengandungi ratusan surat yang diterima Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sepanjang program kembara berkenaan yang bermula dari 3 hingga 13 Sept 2023, dan menurut beliau, kesemuanya telah dibaca satu per satu oleh Seri Paduka.

Surat-surat berkenaan tercatat pelbagai permintaan, antaranya melibatkan pembinaan infrastruktur seperti jalan raya, kemudahan bekalan elektrik dan air serta liputan Internet.

Ada juga surat yang menyatakan luahan isi hati meminta Raja Permaisuri Agong mendoakan agar penulis surat berkenaan dikurniakan zuriat.

"Balik daripada kembara itu kita bermesyuarat, kumpul dan kita asingkan surat berkenaan mengikut kategori, kemudian dibawa kepada Perdana Menteri, perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan, diambil tindakan dan kita dapat maklum balas dengan segera.

"Kesemua (surat) telah diambil tindakan, 100 peratus,” katanya. - Bernama