BUTTERWORTH - Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan 9,600 keping mata wang palsu bernilai RM100 di sebuah rumah di Taman Inderawasih di Perai pada 14 Januari lalu.
Tertuduh, S Karunagaran, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Noor Aini Yusof.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menggunakan 1,600 keping mata wang palsu bernilai RM100 yang memakai nombor siri EJ9694246 dan 8,000 keping wang palsu bernilai RM100 cetakan sebelah sahaja.
Tertuduh didakwa menyedari bahawa mata wang itu adalah palsu dan berniat untuk menggunakannya sebagai tulen.
Sehubungan itu, Karunagaran didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Mohammad Syafiq mencadangkan agar mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun tertuduh memohon agar mahkamah memberikan jaminan yang minimum dan keluarganya bersedia membayar wang jaminan itu.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada tertuduh dan menetapkan 23 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi tertuduh melantik peguam.