LABUAN - Seorang lelaki sanggup bergadai nyawa meredah api demi menyelamatkan jirannya yang terperangkap dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Taman Merinding di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, Gillian Donald, 41, tidak sedarkan diri manakala salah seorang penghuni, Nayomi Noemirogy Pang, 14, melecur di bahagian kaki dan kedua-duanya dihantar ke Hospital Labuan dengan segera bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.06 pagi.
"Terdapat tujuh sekeluarga berada di dalam rumah tersebut dan seorang lelaki iaitu jiran mereka cuba menyelamatkan keseluruhan keluarga tersebut untuk keluar daripada kebakaran.
"Selepas berjaya selamatkan kesemua penghuni, mangsa tidak sedarkan diri namun sempat diselamatkan jiran yang lain untuk keluar dari rumah yang terbakar itu," katanya.
Katanya lagi, operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Layangan dan Labuan Sentral dengan kekuatan keseluruhan seramai 29 anggota.
"Api berjaya dikawal pada jam 4.38 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.31 pagi.
"Hasil pemeriksaan, terdapat seorang remaja melecur di bahagian kaki manakala penghuni lain tidak mengalami sebarang kecederaan, namun turut dirujuk ke hospital untuk tindakan selanjutnya," katanya.