JOHOR BAHRU - Polis mengesahkan motif pembunuhan Mira Sharmila Samsusah, 32 atau Bella disebabkan cemburu dan sakit hati.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil siasatan dilakukan telah mengenal pasti motif berkenaan manakala punca kematian Bella disebabkan keretakan di kepala akibat objek tumpul.
"Motif pembunuhan Bella ini kerana kes cemburu dan sakit hati. Kes bunuh ini mesti mempunyai motif.
"Daripada motif itulah kita akan memulakan dan dapat bayangan siasatan. Jadi inilah motif yang kita dapat tahu menerusi siasatan dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.
Sebelum itu berlangsung Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, Timbalan Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor di IPK Johor.
Bella dilaporkan hilang pada malam 14 Disember lalu selepas keluar ke kedai dobi bersama teman lelakinya.
Kehilangan Bella yang mempunyai dua anak, Eusof Abdul Fatah, 4, dan Maream Isabel, 2, hanya disedari pada keesokan hari selepas mesej dan panggilan telefon dihantar kakaknya, Norhisham, tidak dijawab.
Polis kemudiannya menahan teman lelaki Bella berusia 24 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan turut menahan dua lagi individu yang dipercayai ada kaitan dengan kehilangan Bella bagi membantu siasatan.
Jumaat lalu, rangka seorang wanita ditemukan di sebuah rumah terbiar Batu 7, Tongkang Pechah, selepas suspek ditahan sebaik tiba di tanah air selepas menunaikan umrah bersama keluarga.
Pada Selasa, Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah dilaporkan mengesahkan rangka yang ditemukan itu adalah Bella hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibuat.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai mengenai dakwaan netizen yang tular di media sosial kononnya Bella mengandung, Razarudin berkata hanya laporan bedah siasat menyeluruh yang dapat menentukan perkara itu.
"Disebabkan kita jumpa rangka sahaja, perkara itu tidak dapat disahkan.
"Sama ada mangsa mengandung atau tidak, itu atas 'post mortem'. Hasil laporan bedah siasat menyeluruh akan menentukannya," katanya.