HONG KONG - Jenama mewah Louis Vuitton (LV) bakal menutup gedung utamanya di sebuah pusat beli-belah di Hong Kong selepas sering menjadi sasaran penunjuk perasaan prodemokrasi.
Menurut laporan South China Morning Post, peruncit antarabangsa itu merancang menutup kedainya di hab kewangan Times Square kerana pemilik enggan menurunkan harga sewa.
Kedai di pusat komersial Causeway Bay itu merupakan salah satu daripada lapan kedai di bandar berkenaan dan menduduki ruang lantai kedua pusat beli-belah tersebut dengan keluasan 929 meter persegi.
Perunding industri memberitahu, sewa bulanan dilaporkan bernilai AS$642,000 (RM2.6 juta).
Berita penutupan itu didedahkan selepas Kerajaan Hong Kong melancarkan angka penjualan runcit terkini yang menyaksikan kejatuhan 10 bulan berturut-turut dengan penurunan tahun ke tahun sebanyak 23 peratus.
ARTIKEL BERKAITAN: 5 perkara ini berlaku kepada Hong Kong dalam tempoh 24 jam
Kerajaan menyalahkan rusuhan kerana menjejaskan sentimen pelancongan dan penggunaan.
Jenama mewah di wilayah itu sangat bergantung kepada kemasukan besar pelancong Tanah Besar China yang turut menyebabkan masalah kepada penduduk tempatan sejak beberapa tahun lalu. - AFP