GEORGE TOWN - Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dengan kerjasama Rapid Penang akan menyediakan perkhidmatan bas Rapid percuma kepada pengunjung pusat peranginan itu selama empat hari.
PBBPP dalam kenyataannya berkata, Perkhidmatan Ulang-alik Percuma Bukit Bendera itu akan bermula jam 9 pagi hingga 9 malam pada 10 hingga 13 Februari nanti.
Menurut PBBPP, perkhidmatan percuma itu dilaksanakan sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang.
"Perkhidmatan yang mendapat sokongan daripada Kerajaan Pulau Pinang ini telah kita laksanakan beberapa siri pada tahun lalu dan tahun ini, ia diteruskan.
"Objektif utama inisiatif ini adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar serta menggalakkan inisiatif hijau untuk mengurangkan pelepasan karbon di kawasan Air Itam.
"Ia akan dilaksanakan selama empat hari dengan kerapan lapan perjalanan setiap hari bagi kedua-dua arah pada setiap 1 jam dan 30 minit," katanya pada Rabu.
PBBPP menambah, bas ulang-alik itu turut direka untuk penumpang berkerusi roda dengan keperluan kebolehcapaian tertentu.
"Penumpang boleh menaiki perkhidmatan bas ulang-alik di hentian bas di Jalan Ria untuk sampai ke Stesen Bawah Bukit Bendera dan begitu juga sebaliknya. Jadual waktu untuk perkhidmatan ulang-alik boleh didapati di laman sesawang rasmi PBBPP dan platform media sosial.
"Bas akan akan dilekatkan pelekat 'Penang Hill Free Shuttle Service' di paparan skrin untuk penumpang mengenal pasti bas percuma berkenaan.
"Sementara itu, papan tanda juga akan diletakkan di dua tempat 'pick-up' atau 'drop-off' iaitu Stesen 9 di Komtar (laluan bawah sebelah Kiosk Rapid Penang) dan hentian bas di Stesen Bawah Bukit Bendera," katanya lagi.
Menurut PBBPP, sekiranya bas ulang-alik mencapai kapasiti maksimum, pengunjung digalakkan untuk menaiki bas Rapid Penang sedia ada bernombor 204 pada kadar biasa ke Bukit Bendera.
"Sebagai alternatif, pengunjung boleh menggunakan GrabCar dengan kod promosi 'GRAB2PGHILL' yang bernilai RM5 setiap satu dan dibenarkan dua penebusan maksimum bagi setiap pengguna. Ia tertakluk kepada terma dan syarat," katanya.
Tambah PBBPP, dengan jangkaan peningkatan pengunjung semasa cuti Tahun Baharu Cina, Perkhidmatan Ulang-alik Percuma Bukit Bendera bertujuan untuk menangani cabaran tempat letak kereta yang terhad.
Jelasnya, terdapat kurang daripada 500 ruang tersedia di tempat letak kereta bertingkat Bukit Bendera dan kawasan sekitar termasuk isu meletakkan kenderaan di tepi jalan yang menyebabkan kesesakan lalu lintas.
"Perkhidmatan ulang-alik ini bertujuan untuk menambah baik pengalaman pengunjung secara keseluruhan.
"Ia akan mengurangkan masa perjalanan serta memastikan perjalanan yang lancar bagi pengunjung menikmati keindahan Bukit Bendera tanpa rasa tekanan mencari jalan dan tempat letak kereta," katanya.
PBBPP menggalakkan pengunjung untuk memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan ulang-alik percuma ini semasa cuti Tahun Baharu Cina selari degan komitmen PBBPP untuk mewujudkan Pulau Pinang yang lebih lestari dan mesra alam.