GUA MUSANG - Sembilan beranak tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka di Kampung Renok Baru, di sini hangus dijilat api petang tadi.
Ketika kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, pemilik rumah, Yacob Daud, 75, berada di rumah bersama isteri, anak dan cucunya.
Yacob berkata, mereka sekeluarga tidak sempat menyelamatkan dokumen penting dan harta benda.
"Ketika kejadian, saya belum sempat menunaikan solat Asar. Saya berada di dapur manakala beberapa cucu sedang bermain di luar rumah.
"Tiba-tiba berlaku litar pintas di bahagian ruang tamu dan rumah saya terus disambar api. Kami hanya sempat menyelamatkan diri dan berlari keluar dari rumah. Buat masa ini kami menumpang sementara di rumah jiran kerana tiada arah tuju," katanya.
Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.35 petang dan jentera tiba di lokasi 15 minit kemudian.
Katanya, operasi memadamkan api bermula pada jam 4.52 dan tamat pada jam 6.07 petang.
"Operasi yang melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal itu diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan, PBK II, Hasri Hussin bersama 13 anggota.
"Sebanyak 60 peratus rumah itu terbakar dan tiada kemalangan jiwa. Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.