[VIDEO] 'Uncle' selalu pukul 'mummy' - Anak Bella

Iklan

JOHOR BAHRU - Anak lelaki sulung kepada arwah Mila Sharmila Samsusah atau Bella, 32, iaitu Eusof mengadu ibunya sering dipukul teman lelakinya semasa mereka keluar bersama-sama.

Kakak mangsa, Norisham, 36, mendakwa, perbuatan tersebut sering diceritakan anak Bella yang berusia lima tahun kepadanya yang merayu supaya suspek tidak berbuat demikian terhadap ibunya.

Iklan
Iklan

"Uncle (suspek) dulu selalu marah-marah 'mummy' (panggilan anak Bella kepada ibunya), dia tanya kenapa 'mummy' keluar kat TV (televisyen)? 'Mummy' keluar dengan 'uncle', 'uncle' dah kena tangkap. Dia (anak Bella) panggil saya umi. Umi, kenapa 'mummy' tak balik?

"Umi dah cakap dengan polis ke belum 'uncle' pukul 'mummy'? Dulu 'uncle' selalu pukul-pukul 'mummy', anak dia cakap dengan saya. (Suspek) kenal mereka kerana selalu keluar bersama (dia) marah dan minta tolong jangan pukul 'mummy', dia cerita kat kami," katanya.

Iklan

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika hadir membuatkan tuntutan rangka milik Bella selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada Rabu.

Norisam bersama ibu dan bapanya semasa ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HSI, Johor Bahru pada Rabu.

Iklan
Norisham yang bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah di sini berkata, selepas ini dia akan menjaga anak sulung Bella itu termasuk adik perempuannya, Maream, 2.

Dia berkata, sebelum kejadian Bella yang menjalin hubungan tujuh bulan lalu ada menyatakan hasrat untuk tinggal bersama-samanya di sini bermula pada musim cuti sekolah akan datang.

Ditanya sama ada keluarga dapat menerima jenazah Bella yang ditemui dalam keadaan tidak sempurna, Norisham berkata, keluarganya masih belum reda lagi kerana kejadian tersebut berlaku dengan cepat.

"Pengakhiran sangat kecewa. la sebab benda ni dah cakap pada hari pertama dan kedua, saya dah jangka lelaki itu (suspek) tahu sesuatu, cara dia cakap (merupakan) penipuan. Tapi 'last' ini kami dapat (tahu pengakhiran)," katanya.

Jenazah Bella dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang selepas disembahyangkan di Masjid Datuk Bentara di Batu Pahat pada Rabu.

Ahli keluarga Bella hadir semasa urusan proses menuntut jenazah di Jabatan Perubatan Forensik HSI, Johor Bahru pada Rabu.


Teman lelaki kepada ibu tunggal dua anak itu, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Rabu atas pertuduhan menyebabkan kematian Bella pada penghujung Disember lalu.

Untuk rekod, Bella dilaporkan hilang pada 14 Disember tahun lalu setelah ahli keluarganya gagal menghubunginya ketika keluar ke dobi sambil ditemani teman lelakinya itu dengan menaiki sebuah kereta berwarna putih sebelum membuat dua laporan polis pada 16 dan 18 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, kakaknya, Norisham memaklumkan adiknya itu hilang selepas beberapa hari tidak dapat dihubungi, namun pelik apabila dompet yang mengandungi pengenalan diri, pakaian yang hendak dibasuh serta kunci rumah ada di kediaman Bella.

Van membawa jenazah Bella bertolak dari Jabatan Perubatan Forensik HSI, Johor Bahru pada Rabu untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang, Batu Pahat.

Lima suspek termasuk teman lelaki Bella telah ditahan selama tujuh hari mulai 25 Disember 2023 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Selepas 38 hari kehilangan Bella, polis Johor akhirnya berjaya mengesan rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Jumaat lalu.

Tiga suspek termasuk teman lelaki Bella ditahan reman sekali lagi bermula 21 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah pada Selasa akhirnya mengesahkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka yang ditemui adalah milik Bella susulan sampel patalogi rangka tersebut sepadan dengan DNA yang diambil daripada kakak serta ibunya.