Bekas penganalisis bank berdepan dua pertuduhan

Iklan
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

SHAH ALAM - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan pertuduhan terhadap bekas penganalisis bank, Mohd Arif Fadzlee Mohd Arifin, atas dua kesalahan berkaitan aktiviti pasaran modal tidak berlesen dan penyalahgunaan gelaran ‘perunding unit amanah’.

Menurut SC, kedua-dua pertuduhan terhadap Mohd Arif yang juga merupakan pemilik perniagaan, dikenakan pada Selasa.

Iklan
Iklan

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Arif dikenakan pertuduhan mengikut seksyen 59(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana menyatakan dirinya sebagai wakil CIMB Wealth Advisors Berhad dalam berurusan dalam sekuriti tanpa lesen.

"Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Iklan

"Arif juga dikenakan pertuduhan di bawah seksyen 362(3) CMSA kerana menggunakan gelaran ‘perunding unit amanah’, yang memberi tanggapan bahawa dia dilesenkan untuk berurusan dalam sekuriti, sedangkan sebaliknya.

"Kesalahan ini membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Kedua-dua kesalahan didakwa berlaku pada tahun 2011 di Petaling Jaya dan Nilai.

Susulan itu, menurut SC, Mohd Arif telah menuntut dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan di mahkamah berasingan.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Datin Sabariah Othman membenarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan di bawah seksyen 59(1) CMSA.

Selain itu, Mohd Arif juga diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada SC setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.

Bagi pertuduhan di bawah seksyen 362(3) CMSA, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Tuan Azrul Darus turut membenarkan ikat jamin RM30,000 tetapi dengan dua penjamin.

Arif juga diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada SC setiap bulan.

Urus niaga dalam sekuriti merupakan aktiviti terkawal seperti yang dinyatakan dalam Jadual 2 CMSA, dan mana-mana individu yang menjalankan aktiviti ini perlu dilesenkan oleh SC.