Percepat pelan mitigasi banjir

Iklan
Kerajaan digesa mempercepatkan pelan mitigasi banjir di beberapa kawasan DUN Kota Kemuning. Gambar kecil: Preakas

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan dan negeri didesak mempercepatkan pelan mitigasi banjir di beberapa kawasan berisiko Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning bagi menangani bencana itu daripada terus menghantui penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berkata, sebanyak RM100 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan bagi pelan mitigasi banjir dan berharap pelaksanaan projek itu memberikan bantuan kepada komuniti setempat.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, antara kawasan berisiko banjir seperti di Taman Sri Muda (TSM), Bukit Kemuning, Greenville, Kampung Bukit Lanchong dan semua taman perumahan di DUN berkenaan.

"JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) telah memberikan kemas kini mengenai status projek-projek yang sedang dijalankan dan amat menghargai usaha mereka, namun kami mendesak agar projek tersebut dipercepatkan.

Iklan

"Kami memahami bahawa penduduk telah menunggu terlalu lama untuk memastikan projek ini dapat dilaksanakan," katanya.

Preakas berkata, penjagaan sistem saliran air amat penting dan berharap ia diberi keutamaan oleh pihak bertanggungjawab.

Iklan

"Banjir berulang kali menyebabkan tekanan dan kerugian harta benda dan saya menegaskan ini masa paling sesuai untuk memberi keutamaan kepada rakyat berbanding projek mega yang boleh ditangguhkan," jelas beliau.

Beliau memberitahu, penduduk juga membangkitkan kerisauan mereka berhubung koordinasi antara agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu banjir.

Ujarnya, ketiadaan koordinasi telah menyebabkan penderitaan penduduk dan pihaknya mendesak semua pihak bekerja secara bersatu serta cekap dalam menangani isu tersebut dengan segera.

"Untuk memastikan ketelusan dan memberikan maklumat kepada komuniti, saya akan memuat naik kemas kini berkaitan di laman Facebook, Instagram, aplikasi X dan TikTok.

"Kami sedang mengkaji situasi ini secara aktif, dan dengan tekad kami menetapkan sasaran untuk menangani kebimbangan ini secepat mungkin," tambah beliau.

Dalam pada itu, Preakas memberitahu, pemasangan pam skru yang sepatutnya siap pada Rabu berdepan masalah berikutan berlakunya pergerakan tanah yang tidak terduga.

Bagaimanapun, ujar beliau, tindakan segera telah diambil untuk mengukuhkan platform sebelum pembinaan stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersebelahannya dapat diteruskan.

"Kami mengakui kepentingan dan kecemasan dalam menangani perkara ini, selain berjanji untuk terus memantau dengan teliti dan bertindak secepat mungkin bagi menyelesaikan isu yang tidak dijangka ini demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti.

"Saya juga ingin mendapatkan laporan terperinci punca banjir semalam daripada MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) dan JPS dalam kadar segera supaya dapat mengambil tindakan seterusnya serta tidak boleh menerima sebarang kelewatan dan memandang hal ini serius.

"Keselamatan dan kesejahteraan penduduk DUN Kota Kemuning adalah keutamaan saya dan dengan komitmen tinggi, saya berjanji untuk terus bekerja tanpa henti dalam menyelesaikan isu-isu banjir yang terus mengganggu komuniti kita," jelas beliau.