Kes ESSCom: Cedera parah di leher kiri punca kematian Nurman

Iklan
Gambar hiasan

TAWAU - Seorang pakar patologi forensik pada Rabu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa kecederaan parah pada leher disebabkan objek tajam adalah punca kematian pemandu e-hailing Nurman Bakaratu.

Dr Muhammad Uzair Ahmad Suriani, 37, dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu yang menjalankan bedah siasat ke atas si mati pada 18 Januari 2023 berkata, terdapat 21 kecederaan pada jasad si mati.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan 21 luka yang ditemui pada jasad si mati, luka dengan kedalaman sembilan sentimeter pada bahagian kiri leher yang menyebabkan kematian kepadanya.

"Luka ini telah memutuskan struktur-struktur utama pada leher iaitu salur darah vena jugular kiri, arteri carotid kiri dan tulang rawan cricoid,” katanya pada hari ketujuh perbicaraan kes bunuh Nurman yang membabitkan lapan tertuduh iaitu bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCom), Datuk Mat Zaki Md Zain, enam anggota polis dan seorang awam.

Iklan

Rosdi Rastam, 45, Denis Anit, 45, Fabian Rungam, 44, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 40, John Kennedy Sanggah, 44, dan Vivien Fabian, 34, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5 di sini di antara jam 7.30 hingga 11.30 malam pada 13 Januari tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Iklan

Mat Zaki, 59, pula berdepan dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad ketika pemeriksaan utama adakah luka pada leher lazimnya mencukupi untuk menyebabkan kematian, Dr Muhammad Uzair menjawab"cukup”.

Mohammad Fakhrurrazi: Pada pendapat doktor, adakah seseorang yang mengalami kecederaan seperti luka di leher boleh diselamatkan jika diberi rawatan segera?

Dr Muhammad Uzair: Pada pendapat saya oleh kerana luka ini telah memutuskan salur-salur darah pada leher, dia tidak dapat diselamatkan.

Mohammad Fakhrurrazi: Walaupun diberikan rawatan yang segera?

Dr Muhammad Uzair: Betul.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-19 itu mengesahkan bahawa si mati adalah Nurman Bakaratu berdasarkan analisis cap jari dan perbandingan profil asid deoksiribonukleik (DNA) dengan anak perempuan si mati.

Menurut Dr Muhammad Uzair, kecederaan pada lengan kanan, belakang tangan kiri dan tapak tangan kiri si mati adalah berpadanan dengan kecederaan yang berlaku sebelum kematian.

"Kecederaan pada tangan ini bersesuaian dengan keadaan mempertahankan diri yang disebabkan oleh objek tajam,” katanya yang membuat bedah siasat si mati di Unit Perubatan Forensik Hospital Tawau dengan dihadiri oleh Pegawai Penyiasat Asisten Superintenden Yusman Syahri Marinsah, jurufoto polis dan staff forensik pada jam 1.15 tengah hari, 18 Januari.

Kepada soalan peguam Datuk Ansari Abdullah yang mewakili Rosdi, Dr Muhammad Uzair berkata, senjata yang digunakan untuk menyebabkan kecederaan adalah senjata yang mempunyai bilah tajam seperti pisau, gunting dan sebagainya.

Ditanya peguam itu mengenai tarikh kematian si mati, saksi berkata anggaran tempoh kematian antara empat hingga enam hari sebelum tarikh bedah siasat pada 18 Januari tahun lepas.

Kepada soalan peguam Datuk Ram Singh, mewakili Mat Zaki dan empat tertuduh lain, Dr Muhammad Uzair berkata, kecederaan pada salur darah utama pada leher kiri si mati boleh menyebabkan pendarahan teruk dan kematian yang cepat.

"Luka pada leher kiri si mati boleh menyebabkan si mati lemah dan tidak bermaya. Namun, ia bukan menyebabkan kematian dengan serta merta tetapi cepat,” kata saksi itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung petang ini. - Bernama