JOHOR BAHRU - Komisioner Polis, M Kumar dilantik sebagai Ketua Polis Johor baharu menggantikan Datuk Kamarul Zaman Mamat yang bersara selepas 36 tahun berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
M Kumar, 55 yang memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Johor sebelum ini memulakan tugas baharunya setelah Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, Timbalan Ketua Polis Johor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Rabu.
Bagi Timbalan Ketua Polis Johor pula, diisi Ketua Penolong Pengarah (Tadbir urus/Kepolisan Am) Bahagian Integriti, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Deputi Komisioner Afandi Senin.
Majlis tersebut turut disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Dalam ucapannya, Razarudin berkata, pelantikan kedua-dua pemimpin itu tepat untuk menjaga keamanan dan keselamatan negeri ini.
"Saya melihat kepimpinan tertinggi Johor yang baharu ini adalah sangat ideal, Kumar adalah seorang pegawai berdedikasi dan banyak pengalaman malah beliau pakar dalam undang-undang yang menjadi kelebihannya.
"Timbalannya, Afandi adalah orang Kluang yang kita letakkan untuk membantu Kumar. Beliau ada pengalaman yang sangat luas. Sebelum ini duduk di Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard dan merupakan pengerusi Masjid Bukit Aman.
"Jadi kedua-dua figura ini sangat bersesuaian untuk menjadi kepimpinan tertinggi dalam PDRM di Johor," katanya.
Sebelum ini, M Kumar pernah bertugas Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Perlucuthakan Harta/Perundingan/Siasatan) Bukit Aman pada 2020 hingga Oktober 2022 sebelum berpindah ke Kontinjen Polis Johor sebagai Timbalan Ketua Polis Johor.
Manakala Afandi, merupakan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara Polis) Jabatan Pengurusan Bukit Aman pada 2018 hingga 2021 sebelum berpindah ke Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard Bukit Aman.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman memberi pesanan terakhirnya agar pegawai dan anggota polis sentiasa memberi sokongan untuk memastikan pasukan PDRM terus relevan sepanjang masa.
"Walau siapa pun pemimpin, itulah tempat kita menumpahkan taat setia kita dan menjadi pegawai dan anggota polis yang kental dan berani selain sentiasa mengikut peraturan dan undang-undang," katanya.