Pulau Pinang aktifkan dua pelan pulih bekalan air

Iklan
Kon Yeow - Foto Bernama

GEORGE TOWN - 120,000 pengguna di daerah Barat Daya dan bahagian selatan Timur Laut dinasihatkan supaya menyimpan air untuk tempoh seminggu sekiranya Pelan A yang dijalankan ketika ini gagal.

Pelan A melibatkan proses mengapit semula lubang 1.15x 0.65 meter (m) pada bahagian saluran paip bawah air 1,350 milimeter (mm) yang bocor.

Iklan
Iklan

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sekiranya Pelan A berjaya, 84 peratus daripada 120,000 pengguna yang terjejas akan mula mendapat bekalan air pada Jumaat ini.

Menurutnya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan mengumumkan keputusan pada jam 4 petang Khamis sama ada Pelan A berjaya atau sebaliknya.

Iklan

"Pasukan penyelam telah mula membuat kerja penilaian sejak tengah malam tadi. PBAPP akan menjalankan dua pelan yang dicadangkan secepat mungkin iaitu Pelan A, untuk mengapit bahagian paip yang bocor.

"Jika berjaya, kita dapat memulihkan bekalan air kepada 84 peratus daripada 120,000 pengguna yang terkesan pada 26 Januari ini. Kerja-kerja untuk mengapit itu dijadualkan akan siap pada jam 8 pagi esok.

Iklan

"Setelah siap, ia akan memulakan penyampaian air melalui paip yang sama dan pemulihan bekalan air sehingga 100 peratus dijangka pada jam 8 pagi Sabtu," katanya pada sidang akhbar sebelum membuat tinjauan perayaan Thaipusam di Jalan Macalister di sini pada Rabu.

Kata Kon Yeow, sekiranya Pelan A gagal, PBAPP akan meneruskan Pelan B yang sedang dijalankan ketika ini.

Pelan B adalah untuk mempercepatkan kerja-kerja persediaan untuk pengoperasian dua saluran paip 600mm baharu untuk menggantikan saluran paip bawah permukaan air.

"Jika Pelan A berjaya, maka air akan dibekalkan semula bermula Jumaat sehingga Isnin sebelum Pelan B siap pada 29 Januari. Selepas Pelan B siap, kita akan menukar Pelan A ke Pelan B yang kekal.

"Ini bermakna, pengguna ada empat hari untuk menyimpan air kerana kita akan menutup bekalan air selama 16 jam sebelum Pelan B diaktifkan," katanya.

Kata Kon Yeow, tarikh akhir asal untuk kontraktor menyiapkan kerja bagi Pelan B ialah 2 Februari, dengan kerja-kerja pengalihan saluran paip dijadualkan dimulakan serta-merta.

"Kerja bagi Pelan B ini telah bermula pada 14 Januari lalu iaitu untuk memasang dua paip merentasi Sungai Perai di bahagian atas untuk menggantikan saluran paip di dasar sungai yang bocor.

"Ini bermakna, paip sedia ada di dasar Sungai Perai tidak akan digunakan lagi selepas Pelan B ini siap kerana terdapat paip pelencongan yang sedang dipasang," katanya.

Tambah beliau, Pelan B dijangka mengambil masa 21 hari dan dijadualkan siap pada 2 Februari ini namun ia akan dipercepatkan.

"Kita akan cuba menyiapkan semua kerja dalam Pelan B ini sebelum 30 Januari ini.

"Ini bermakna, pengguna akan mendapat bekalan air pada 31 Januari manakala pengguna di hujung paip agihan dan kawasan tinggi akan menerima bekalan pada 1 Februri," katanya lagi.

Kon Yeow berkata, kebocoran tersebut adalah paip dan tempat sama yang berlaku pada Disember lalu.

"Kebocoran paip yang berusia 30 tahun itu berlaku pada tempat sama namun ia lebih besar daripada sebelum ini dengan ukuran 1.05x0.65m," katanya.

Pada Selasa, PBAPP memaklumkan pihaknya telah mengesan kebocoran besar pada bahagian saluran paip 1,350 mm di dasar Sungai Perai yang menyebabkan berlaku gangguan bekalan air kepada kira-kira 120,000 pengguna di negeri ini.

PBAPP memaklumkan pihaknya sedang berusaha untuk mengepam air melalui saluran paip pada aliran minimum.

Langkah ini mungkin membawa kepada gangguan bekalan air kepada kira-kira 200,000 pengguna di daerah Barat Daya, bahagian selatan Timur Laut dan beberapa kawasan di Seberang Perai.