Ringgit dijangka stabil pada 4.54-4.58 berbanding dolar AS

Iklan
Gambar hiasan

RINGGIT diunjur stabil berbanding dolar AS pada jajaran RM4.54-RM4.58 menjelang akhir tahun ini susulan jangkaan penyusutan dolar AS dan hasil Perbendaharan Amerika Syarikat (AS) apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka memulakan kitaran penurunan kadarnya pada 2024.

Ketua Ahli Ekonomi OCBC Bank, Selena Ling berkata, pertumbuhan stabil ekonomi China juga dijangka memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia kerana kedatangan pelancong dari negara itu terus kekal kukuh.

Iklan
Iklan

"(Unjuran) itu kelihatan agresif. Saya fikir kebanyakan keadaan adalah pada sekitar 4.45 (berbanding dolar AS). Kami menjangka asas domestik yang bertambah baik akan terus menyokong mata wang tempatan,” katanya pada taklimat media mengenai Tinjauan Ekonomi Malaysia 2024, di sini pada Rabu.

OCBC Bank dalam satu kenyataan berkata, 2023 merupakan tahun mencabar bagi Malaysia berikutan tekanan luaran dan ketidaktentuan di dalam negara.

Iklan

"Pertumbuhan eksport merosot pada separuh kedua 2023 membawa kepada pengecilan lebihan akaun semasa dan perdagangan. Pertumbuhan import turut susut seiring dengan permintaan domestik yang lemah.

"Aliran keluar modal juga tidak menentu dengan defisit akaun kewangan berterusan bagi lima suku berturut-turut hingga suku kedua 2023 dan mata wang tempatan merosot lebih 4.0 peratus dapada 2023 berbanding dolar AS,” katanya.

Iklan

Sementara itu, bank tersebut juga mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) berada pada purata RM3,650 setan metrik tahun ini berbanding RM3,813 setan metrik pada 2023.

Anggaran penurunan harga MSM yang sederhana pada 4.3 peratus mencerminkan bekalan stabil daripada pengeluar utama seperti Malaysia dan Indonesia manakala permintaan lemah global selari dengan pertumbuhan perlahan global.

"Bagaimanapun, risiko pengeluaran kekal disebabkan oleh fenomena El Nino yang berterusan,” katanya.

Faktor ini beserta dengan persekitaran kadar AS yang kurang ketat akan menyediakan ruang lebih kondusif bagi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus.

"Walaupun prospek inflasi akan menerima kesan daripada garis masa rasionalisasi subsidi bahan api namun ia dijangka terkawal.

"Kami menjangka Fed mengurangkan sekurang-kurangnya 100 mata asas pada 2024 yang membolehkan perbezaan kadar faedah lebih menarik berbanding AS.

"Bagaimanapun, masih belum pasti sama ada langkah ini boleh membawa aliran masuk portfolio yang tinggi ke Malaysia, terutamanya memandangkan jangkaan pertumbuhan global yang perlahan pada 2024,” katanya. - Bernama