SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyita 41 tan metrik beras pelbagai gred dianggarkan bernilai RM131,568 dari sebuah premis perniagaan kerana didapati menyimpan stok melebihi had muatan dibenarkan di dalam lesen.
Menurut KPKM, tindakan dilakukan hasil pemeriksaan dijalankan sepasukan penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB) melibatkan premis borong dan runcit yang menjual beras di sekitar Selayang, Kuala Lumpur pada Selasa.
"Hasil pemeriksaan ini, pihak KPB mendapati sebuah premis perniagaan telah menyimpan stok beras melebihi daripada had muatan yang dinyatakan di dalam lesen.
"Oleh itu, pihak KPB telah mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dengan menyita stok beras di premis tersebut berserta dokumen-dokumen yang berkaitan.
"Kes ini disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 P.U (A) 624," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah kenyataan itu, hasil semakan juga mendapati kesalahan yang dilakukan oleh pihak syarikat tersebut merupakan kesalahan kali kedua.
"Sekiranya didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 bagi kesalahan kali kedua," katanya.
Sehubungan itu, KPB mengingatkan semua pemegang lesen supaya mematuhi perundangan di bawah Akta 522 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Padi dan Beras 1996.
Tindakan tegas akan diambil sekiranya pemegang lesen gagal mematuhinya.