PENGAKUAN pelakon dan penyanyi Izzue Islam mengenai isterinya, Awin Nurin dalam podcast Hitam Putih bersama Datuk Rosyam Nor telah menyentuh hati warganet.
Dalam podcast berkenaan, selebriti berusia 33 tahun itu mengakui tidak pernah membayangkan hidupnya tanpa isteri tercinta.
Malah sejak mendirikan rumah tangga pada 2013, pemilik nama penuh Muhammad Izzul Islam Mazlan itu tidak betah untuk berpisah dengan Awin biarpun buat seketika.
"Atas sebab itu sampai sekarang saya akan bawa dia ke mana-mana sahaja kami pergi, kalau dia demam saya akan bawa dia ke klinik dahulu, kemudian dia akan rehat dalam kereta. Bukan tidak boleh berenggang tetapi dia individu penting buat saya.
"Saya mahu dia sentiasa ada di depan mata. Selagi saya hidup saya mahu dia ada di depan saya,” ujarnya menahan sebak.
Ditanya Rosyam Nor seandainya suatu hari nanti Awin ditakdirkan pergi dahulu, Izzue mengakui tidak pernah membayangkan situasi itu.
"Saya tak boleh bayangkan Datuk. Saya pernah borak dengan dia, saya kata kepadanya bolehkah kita mati bersama-sama nanti?
"Sebab saya tak boleh bayangkan hidup tanpa dia. Masa zaman Covid, saya hari-hari hidup dalam ketakutan. Bukan takut dengan virusi itu, tapi takut kalau ALLAH jemput dia dulu.
"Kalau jemput saya tak apa, sebab saya tahu dia wanita yang berdikari," katanya sebelum ditenangkan Rosyam dan pengacara podcast berkenaan.
Rata-rata yang melihat sedutan podcast itu meluahkan rasa terharu dengan luahan Izzue dan menganggap jarang untuk melihat seorang lelaki benar-benar mencintai pasangan hidupnya.
Rinakhori:"Hebatnya cinta Izzue Islam pada isteri dia."
Fakasha:"Pernah bertembung dengan Izzue di depan tandas sebuah stesen minyak, dia tunggu isterinya di depan tandas, bukan di dalam kereta."
Sekadar info, Izzue dan Awin mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 namun belum dikurniakan rezeki untuk memiliki cahaya mata.