Turkiye ratifikasi permohonan Sweden sertai NATO

Iklan
Hasrat Sweden mahu sertai NATO akhirnya menjadi kenyataan. - Foto: Agensi

ANKARA - Parlimen Turkiye pada Selasa meratifikasi permohonan Sweden untuk menganggotai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas usaha untuk memperluaskan pakatan Barat itu tertangguh selama kira-kira 20 bulan.

Keputusan itu dibuat Perhimpunan Agung Kebangsaan (Parlimen) selepas meraih 287 undi sokongan manakala 55 menolak tuntutan yang pertama kali dikemukakan Stockholm pada 2022 yang bertujuan untuk meningkatkan keselamatan mereka setelah kempen pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Iklan
Iklan

Permohonan sama turut dibuat Finland, namun Ankara terlebih dahulu memberi 'lampu hijau' kepada Helsinki pada April 2023.

"Kami menyokong langkah memperluaskan sekutu NATO. Turkiye berharap pendirian Finland dan Sweden terhadap usaha memerangi keganasan akan menjadi contoh kepada sekutu kami yang lain,” kata Ketua Suruhanjaya Hal Ehwal Luar di Parlimen, Fuat Oktay.

Iklan
Iklan

Presiden Recep Tayyip Erdogan dijangka menandatangani kelulusan tersebut, sekali gus menjadikan Hungary sebagai negara tunggal yang masih belum meluluskan keanggotaan Stockholm. - Agensi