Pita Limjaroenrat kekal jadi MP

Iklan
Pita memberi hormat kepada para penyokong beliau yang berhimpun di luar Mahkamah Perlembagaan di Bangkok pada Rabu. Foto AFP

BANGKOK - Mahkamah Perlembagaan Thailand pada Rabu mengembalikan semula hak pemimpin reformis, Pita Limjaroenrat sebagai ahli Parlimen (MP) di bawah kes yang mungkin menyebabkan beliau hilang kelayakan seumur hidup untuk menganggotai dewan tersebut.

"Status beliau sebagai MP masih kekal,” kata Hakim Punya Udchachon ketika membacakan keputusan kes tersebut berhubung pemilikan saham Pita di sebuah syarikat media yang dilarang sama sekali terhadap mana-mana ahli Parlimen.

Iklan
Iklan

Keputusan itu dibuat berdasarkan lapan undi sokongan manakala satu menolak yang menetapkan Pita, 43, tidak melanggar peraturan yang melarang MP memiliki saham di syarikat media.

Difahamkan, kes itu melibatkan saham di stesen ITV yang diwarisi daripada mendiang bapanya.

Iklan

"ITV tidak beroperasi sebagai sebuah syarikat media pada hari parti mengemukakan nama responden untuk pilihan raya,” kata Punya.

Kumpulan penyokong Pita di luar mahkamah yang memakai warna jingga yang menjadi tema Parti Move Forward (MFP) turut bersorak gembira selepas mahkamah mengumumkan keputusan tersebut sambil melaungkan slogan 'PM Pita'.

Iklan

Hasrat pemimpin itu untuk menjadi Perdana Menteri tidak kesampaian selepas keanggotaannya sebagai MP digantung pada Julai 2023 malah pencalonannya juga ditolak bulat-bulat oleh para senator protentera.

Parti pimpinannya juga dikecualikan daripada pembentukan kerajaan gabungan kerana 'pengaruh' parti protentera, namun MFP tetap akur.

Sebelum ini, Pita pernah menyuarakan hasratnya untuk bertanding semula jika keputusan hakim berpihak kepada beliau.

Menerusi wawancara bersama AFP pada akhir tahun lalu, beliau menyatakan akan mencuba nasib merebut jawatan Perdana Menteri walaupun terpaksa berdepan laluan sukar.

"Saya enggan berputus asa,” ujarnya. - AFP

Info:

Kes Pita mempunyai persamaan dengan kes pada tahun 2019 melibatkan ahli politik, Thanathorn Juangroongruangkit yang hilang kelayakan sebagai MP kerana memegang saham media. Thanathorn menganggotai Parti Future Forward (FFP) yang kemudiannya dibubarkan di bawah kes berasingan dan membawa kepada penubuhan MFP.