Dakwaan subsidi RON95, diesel ditarik tidak benar- Fahmi

Iklan
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil ketika sidang media mengenai Kerajaan Perpaduan selepas Mesyuarat Pasca Kabinet di Kementeriannya pada Rabu. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Dakwaan kononnya kerajaan akan menarik balik subsidi RON95 dan diesel pada tahun ini sepertimana yang tular di media sosial adalah tidak benar, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, perkara tersebut belum lagi dibincang di peringkat Jemaah Menteri.

Iklan
Iklan

Beliau turut menafikan dakwaan beberapa cukai baharu akan diperkenal tahun ini, yang juga tular dalam media sosial.

"Sekali lagi ini adalah sebaran yang tidak mempunyai maklumat yang tepat, menimbulkan kecurigaan dan kegusaran awam,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Iklan

Justeru, Fahmi menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam menerima sebarang maklumat sebaliknya merujuk kepada Kementerian Kewangan jika terdapat sebarang keraguan.

Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai insiden seorang pempengaruh yang mendakwa tiga wakil Perikatan Nasional telah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Iklan

"Hal ini terbukti palsu dan satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai Istana Negara terhadap individu tersebut dan kita serah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan ada menerima laporan berkaitan dakwaan Chegu Bard, atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shahrin, bahawa tiga wakil PN telah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong dan kes itu akan disiasat dan dikendali oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Kenyataan Chegu Bard didakwa dibuat menerusi sebuah video berdurasi 52 saat yang disiarkan menerusi aplikasi TikTok atas akaun"Alias Official.”

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata kekosongan jawatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) belum diisi kerana Kementerian Komunikasi dalam proses merombak agensi itu.

Beliau berkata, proses itu akan mengambil sedikit masa namun pihaknya telah mengadakan perbincangan awal dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. - Bernama