Lawan Korea Selatan peluang Harimau Malaya timba pengalaman - Pan Gon

Iklan
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-Gon dan pemain Harimau Malaya, Dion Cools ketika sidang media pra-perlawanan kumpulan E antara Korea Selatan menentang Malaysia sempena Piala Asia 2023 di Pusat Media Utama pada Rabu. Foto Bernama

KETUA Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon teruja untuk membimbing Malaysia berdepan negara kelahirannya Korea Selatan yang merupakan salah satu pasukan gergasi di rantau ini pada perlawanan terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di sini, esok.

Pertembungan pertama selepas 44 tahun kedua-dua pasukan dalam peringkat kumpulan Piala Asia itu akan berlangsung di Stadium Al Janoub.

Iklan
Iklan

Pan Gon berkata, barisan kejurulatihan bersungguh-sungguh menaikkan motivasi barisan pemain bagi menghadapi skuad Taeguk Warriors selepas kem negara diselubungi suasana suram susulan dua kekalahan sebelum ini yang menyaksikan Malaysia telah tersingkir lebih awal.

Beliau berkata, perlawanan menentang juara dua kali itu dapat memberi pengalaman positif kepada anak buahnya yang akan meneruskan misi lebih penting iaitu melayakkan diri buat julung kali ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026

Iklan

"Kita tidak rugi apa-apa dalam perlawanan ini tetapi bergantung kepada prestasi dan situasi kami mungkin mendapat sesuatu (keputusan positif)...sesuatu untuk persediaan masa depan. Jadi bagi kami, ia sangat penting, kami mempunyai Kelayakan Piala Dunia pada bulan Mac dan Jun.

"Jika berjaya ke peringkat akhir (kelayakan Piala Dunia), kami mungkin berdepan dengan pasukan gergasi seperti Korea Selatan, Jepun dan Iran... kami ingin menggunakan peluang ini untuk mempelajari sesuatu,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini pada Rabu.

Iklan

Dalam kempen Piala Asia di sini, Harimau Malaya tewas dalam dua perlawanan awal kepada Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1), sekali gus menghuni tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

Mengulas lanjut, Pan Gon berkata, beberapa pemain mengalami kecederaan dan mungkin tidak dapat diturunkan esok termasuk pemain naturalisasi Endrick Dos Santos.

Selain itu, beliau berkata, persediaan menghadapi perlawanan esok lebih sukar kerana pasukan terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan waktu perlawanan.

"Kami memulakan perlawanan menentang Jordan jam 10.30 malam dan esok pada jam 2.30 petang. Semoga kita dapat menanganinya dengan baik. Mengenai Korea Selatan, kami mempunyai banyak maklumat tentang mereka, kami cuba sedaya upaya untuk bersaing,” katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan tengah Dion Cools turut teruja untuk beraksi pada perlawanan esok di sebalik kekecewaan gagal melangkah ke pusingan 16 terbaik.

"Memang amat mengecewakan kita tidak layak untuk pusingan 16... bagi kami perlawanan esok akan menjadi sangat menarik. Saya fikir sebagai seorang pemain, anda ingin bermain dalam jenis perlawanan seperti ini, perlawanan yang anda impikan.

"Kami mempunyai motivasi cukup untuk memberikan segalanya. Perlawanan ini adalah satu aksi untuk menimba pengalaman dan akan melakukan yang terbaik,”kata pemain berusia 27 tahun itu.

Ini merupakan pertembungan kedua Malaysia dan Korea Selatan di peringkat kumpulan Piala Asia selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada edisi 1980 di Kuwait dengan bekas penyerang Zulkifli Hamzah menjaringkan gol penyamaan.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan kompetitif adalah pada pusingan kelayakan Piala Dunia menyaksikan Malaysia tumpas 0-3 pada 1989. - Bernama.