IPOH - Seramai 36 orang awam menempuh detik cemas apabila terperangkap dalam banjir kilat lebih 1 meter di Taman Fair Park, dekat sini pada Rabu.
Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh pada jam 5.06 petang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, ketika kejadian paras air berada pada kedalaman antara 1 hingga 1.5 meter.
"Operasi menyelamat telah dilakukan dengan melakukan pencarian di sekitar kawasan itu.
"Seramai 36 mangsa yang dikesan terperangkap berjaya dipindahkan ke tempat yang selamat," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, operasi tamat pada jam 6.50 petang dan pemantauan dijalankan mendapati, air telah surut 90 peratus di lokasi kejadian.
"Buat masa ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka," katanya.