SHAH ALAM - Mekanisme dan garis masa bagi peralihan struktur pendidikan prasekolah akan diperincikan dalam tempoh terdekat bersama kementerian yang terlibat dan pemegang taruh dalam institusi pendidikan awal kanak-kanak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) disambut baik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan menetapkan semua sistem pendidikan prasekolah yang akan diselaraskan.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pelaksanaan tersebut bagi memastikan kualiti pendidikan negara ini terus dimartabatkan.
"Susul tindak telah disegerakan dengan penglibatan semua ketua jabatan dan bahagian dalam mesyuarat pasca Kabinet KPM pada Rabu.
"Ia selaras dengan agenda reformasi pendidikan yang sedang diterajui oleh KPM khususnya dalam memperkukuhkan sistem pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan Jemaah Menteri memutuskan agar sistem pendidikan prasekolah di seluruh negara diselaraskan semula supaya kualiti pendidikan awal kanak-kanak itu lebih terjamin dan menyeluruh.
Tambah Fadhlina, reformasi tersebut sangat signifikan dalam menjamin akses, pendidikan yang berkualiti serta intervensi awal bagi menangani keciciran di peringkat prasekolah.