FAM perlu ambil pendekatan seperti PSSI

Iklan
Reaksi pemain skuad Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi ketika perlawanan di antara Malaysia menentang Bahrain peringkat kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Jassim Bin Hamad. Foto Bernama

UMUM sudah mengetahui perjalanan skuad bola sepak kebangsaan di Piala Asia - anak buah Kim Pan-gon gagal meneruskan kemaraan lebih jauh selepas tewas dua perlawanan berturut-turut di peringkat kumpulan.

Harimau Malaya kini sekadar turun bagi melengkapkan jadual perlawanan Kumpulan E dengan menentang gergasi Asia, Korea Selatan lewat petang nanti.

Iklan
Iklan

Apa pun keputusannya, ia tidak mengubah hakikat bahawa dasar bola sepak negara belum sampai standard Asia!

Penampilan Malaysia buat kali pertama secara merit dalam tempoh 42 tahun di Piala Asia seharusnya membuka mata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar meletakkan sasaran lebih realistik berikutan Malaysia muncul satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang menghantar skuad dengan purata umur tertua.

Iklan

Malah, dalam kesemua 24 negara yang bertanding di Qatar, skuad kendalian Pan-gon berada di tangga ke-20 dengan purata usia tertua iaitu 28.73.

Dalam skuad kali ini, Pan-gon membawa seramai 11 pemain yang berusia 30 tahun ke atas antaranya Shahrul Saad (31), Daniel Ting (32), Junior Eldstal (33), Corbin-Ong (33), Khuzaimi Piee (31), Afiq Fazail (30), Darren Lok (34), Mohamadou Sumareh (30), Paulo Josue (35) serta dua pemain tertua iaitu Brendan Gan (35) dan Natxo Insa (36).

Iklan

Tiga pasukan mempunyai purata umur yang lebih tua berbanding Malaysia ialah China (29.17), Iran (29.52) dan Lubnan (29.76).

Namun, sebagai peminat dan penyokong, kita tidak dapat mengabaikan kenyataan bahawa FAM mungkin perlu mengambil inspirasi daripada langkah-langkah berani yang diambil oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), terutama berkaitan dengan menghantar skuad muda dalam pertandingan Piala Asia.

Biarpun memiliki skuad termuda dalam kempen Piala Asia kali ini, namun ia bukanlah alasan untuk Indonesia tidak mempamerkan aksi berkualiti.

Dengan purata umur 24.33, Indonesia muncul sebagai pasukan termuda di Qatar menunjukkan bahawa PSSI telah menetapkan standard tinggi dengan keberanian mereka untuk menghantar skuad muda dalam pertandingan peringkat Asia.

Mengambil inspirasi daripada keberanian PSSI dalam menghantar skuad muda di Piala Asia adalah satu langkah penting yang boleh diambil oleh FAM.

Ini bukan hanya langkah strategik untuk kejayaan pasukan kebangsaan tetapi juga investasi dalam masa depan bola sepak Malaysia.