ALOR SETAR - Isu kadar sewa bulanan di Medan Selera Pasar Besar Alor Setar di sini, yang didakwa terlalu tinggi akan dikaji semula.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, ia susulan keluhan peniaga yang kecewa apabila didakwa akan dikenakan bayaran sewa bulanan antara RM550 hingga RM700 berbanding RM90 sebulan sebelum ini.
Menurut Mohd Salleh, beliau telah turun padang bertemu dan berbincang dengan peniaga Medan Selera Pasar Besar pada Selasa.
"Saya ada menghantar surat dan sudah bercakap dengan pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) supaya kadar sewa dikaji semula.
"Isu ini mesti dibincangkan dengan ahli majlis dan peniaga," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mohd Salleh berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat agar kadar sewaan dapat dikaji semula.
"Insya-ALLAH, dalam masa terdekat saya akan adakan perbincangan dengan MBAS," katanya.
Tambah beliau, pihaknya melihat keadaan ekonomi serta beberapa faktor yang menjadi pertimbangan agar hak rakyat atau peniaga terbela.
Katanya, penambahbaikan infra yang telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dilihat secara rasional.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kira-kira 30 peniaga Medan Selera Pasar Besar Alor Setar di sini memohon kadar sewa bulanan baharu yang didakwa bakal dikenakan terhadap mereka dikaji semula.
Wakil peniaga, Mohd Firdaus Shahi Zabiat, 35, berkata, pihaknya dimaklumkan perlu membayar sewa antara RM550 hingga RM700 sebulan berbanding hanya RM90 sebulan sebelum ini untuk satu tapak gerai di medan selera itu.