PASIR PUTEH - Lebih 100 keluarga yang berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Changgai di sini tidak menyangka air di kawasan penempatan mereka naik secara mendadak selepas hujan lebat berterusan sejak Isnin lepas.
Seorang pesakit strok, Ab Hadi Kadir, 90, berkata, dia membuat keputusan berpindah bersama anak dan cucunya lebih awal selepas mendapati kawasan rumah mereka di Kampung Darang Buaya dinaiki air sedalam 0.3 meter (m) dalam tempoh tidak sampai sejam.
"Saya ingat banjir mungkin tidak berlaku di Kelantan sebab itu saya tidak buat sebarang persiapan hadapi banjir.
"Tetapi bila tengok air makin naik dan memikirkan keadaan saya yang sedang uzur sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda, saya segera ambil keputusan untuk berpindah ke PPS berdekatan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS itu pada Khamis.
Ab Hadi berkata, dalam keadaan tergesa-gesa untuk berpindah, dia hanya sempat mengambil beberapa helai pakaian sahaja.
Penduduk Kampung Gaal Hilir, Noraini Ismail, 45, pula berkata, apabila mendapati air di kawasan rumahnya naik dengan cepat, dia membuat keputusan untuk segera berpindah ke PPS bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
"Saya sempat meletakkan beberapa peralatan elektrik dan perabot ke tempat tinggi dan membawa dokumen penting sebelum berpindah ke PPS," katanya.
Seorang lagi mangsa banjir dari Kampung Batu Hitam, Norasmira Ahmad, 35, berkata, selepas menghantar anak ke sekolah dan beli barang dapur di pasar, laluan ke rumahnya tidak dapat dilalui kerana air sudah naik dengan cepat di kawasan rumah.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 10 pagi ini, sebanyak dua PPS dibuka di Kelantan melibatkan jajahan Pasir Puteh iaitu SK Changgai dan SK Wakaf Raja dengan menempatkan 350 mangsa daripada 119 keluarga. - Bernama