KUANTAN - Penduduk di Sungai Lembing mendakwa kejadian banjir kilat di pekan itu lewat petang Rabu berpunca daripada air dari bukit sekitar penempatan mereka.
Penduduk, Saleh Kidam, 81, berkata, hujan lebat memburukkan lagi keadaan.
"Mulanya air bukit melimpah, selepas itu air sungai, jadi bila bertembung, tidak sampai setengah jam air naik," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Lembing di sini pada Khamis.
Dia yang sudah menetap di situ sejak 43 tahun lalu mengaku sudah lali berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan kediaman mereka sering banjir setiap kali musim Monsun Timur Laut (MTL).
Luahnya, berpindah ke PPS menjadi lumrah baginya sekeluarga selepas menetap di perkampungan Sungai Lembing lebih 43 tahun lalu.
"Saya sudah lali kerana setiap tahun banjir. Tahun lepas dua kali setahun. Pernah lima tahun tidak banjir saya ingat sudah tiada masalah.
"Sekarang ini mula banjir balik, kediaman saya roboh, sekarang menyewa rumah dekat masjid," katanya
Saleh memberitahu, banjir kali ini lebih mencabar buat dirinya yang merupakan seorang penghidap kanser.
Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana tinggal bersama anaknya.
"Ke mana anak pergi saya akan ikut. Jika mereka berpindah ke PPS, saya ikut juga.
"Semalam (Rabu) hujan lebat, anak beritahu rumah dinaiki air. Saya dan anak-anak terus lari menyelamatkan diri. Pada mulanya kami dibawa ke balai polis sebelum kemudiannya ditempatkan di PPS ini,” katanya.
Dia memberitahu tidak sempat menyelamatkan barangan miliknya termasuk sebuah motosikal.
"Kami tak sempat nak selamatkan apa-apa. Tidak tahu apa yang rosak kerana ketika menyelamatkan diri air sudah naik ke paras 0.2 meter," katanya.
Penduduk, Mak Ah Mui, 74, berkata, bernasib baik kerana cepat membuat keputusan untuk berpindah ke PPS.
Katanya, tindakan itu diambil selepas mendapat tahu kejadian banjir kali ini meragut nyawa seorang penduduk di kawasan terbabit.
"Semalam (Rabu) ada seorang mati, itu tauke saya kenal, masa hujan lebat saya fikir mahu tunggu dulu hujan sikit baru lari (pindah).
"Kalau tunggu, mesti mati la, kita orang tua tak lari (pindah) pergi PPS, memang susah," katanya..
Sementara itu, Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan, Mohd Lokman Hakim Abdullah berkata, pihak APM bersama agensi terlibat akan sentiasa membuat pemantauan di kawasan sekitar Sungai Lembing.
Katanya, beberapa laluan di Sungai Lembing tidak dapat dilalui oleh kenderaan ringan dan berat.
"Kita nasihatkan orang awam supaya berhati-hati ketika melalui kawasan jalan yang telah dinaiki air.
"Saya harap semua dapat mematuhi arahan-arahan semasa yang dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang musim MTL,” katanya.
Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, setakat jam 12 tengah hari Khamis, jumlah mangsa dipindahkan ke PPS menunjukkan peningkatan kepada 74 keluarga melibatkan 171 mangsa berbanding 72 keluarga melibatkan 164 mangsa sebelum ini.
Seramai 159 mangsa daripada 70 keluarga ditempatkan di PPS SMK Sungai Lembing manakala seramai 11 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Kampung Batu 6 Sungai Lembing.
Dalam pada itu, seorang pemilik kedai Sungai Lembing dikenali sebagai Lee Yie Chong, 62, ditemukan lemas selepas dipercayai hanyut dibawa arus deras ketika cuba menyeberangi jalan yang dinaiki air di pekan Sungai Lembing Rabu malam.