'Barang elektrik rosak tenggelam banjir pun belum berganti'

Iklan
Mohd Daud (lima dari kiri) menyampaikan bakul makanan kepada asnaf di Taman Kelapa Wangi.

PASIR MAS - Bencana banjir baru-baru ini memberi kesan terhadap penduduk kerana banyak barangan elektrik mereka rosak dan tidak dapat dibaiki.

Lebih menyedihkan apabila asnaf terbabit juga tidak mampu membeli barangan baharu sebagai ganti.

Iklan
Iklan

Ibu kepada enam anak, Eza Mohd Zin, 54, memberitahu, mesin basuh dan kipasnya ditenggelami air akibat dilanda banjir sebanyak dua kali.

Eza mengakui kesemua barangan itu belum berganti kerana kewangan yang terhad dan perlu membeli makanan harian.

Iklan
Eza

"Saya juga buntu memikirkan untuk menambah pendapatan selepas mesin tebu yang diterima sebagai bantuan asnaf juga rosak," katanya kepada pemberita selepas Program Bantuan Banjir Kepada Asnaf pada Khamis.

Jelasnya lagi, setiap hari suaminya, Abdul Rahman Mat Rashid, 55, akan membungkus air tebu untuk dijual bersama beberapa jenis air lain dengan menggunakan motosikal roda tiga.

Iklan

"Alhamdulillah peti di rumah saya sudah boleh digunakan selepas lebih sebulan menjemurnya.

"Sebelum itu, saya membeli barangan basah seperti ikan dan sayur setiap hari dalam kuantiti sedikit untuk dimasak setiap hari bagi mengelakkan berbau busuk," katanya.

Menurut Eza, banjir Disember tahun lalu dan awal Januari menyebabkan dia dan 15 keluarga lain di kawasan kejiranan itu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebanyak dua kali.

Jirannya, Rosmawati Che Teh, 46, mengambil keputusan untuk tidak lagi membeli mesin basuh apabila barangan elektriknya itu rosak selepas ditenggelami banjir enam tahun lalu

Rosmawati memberitahu, anak-anaknya ada memaklumkan untuk membeli mesin basuh tetapi dia serik kerana selalu rosak ditenggelami banjir.

"Saya tidak mahu membazir berikutan kawasan ini dinaiki air setinggi lebih satu meter setiap tahun," katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana masih ada tempat berteduh dan rumah itu satu-satunya tempat berkumpul bersama anak-anak.

Penduduk Taman Kelapa Wangi bergambar bersama ahli Puspanita dan sukarelawan Yayasan Raja Shamrin.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Jeli, Dr Mohd Daud Isa berkata, Program Bantuan Banjir Kepada Asnaf Taman Kelapa Wangi turut mendapat kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) di politeknik itu dan Yayasan Raja Shamrin.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan Raja Shamri, Raja Shamri Raja Hussin.

Mohd Daud yang juga penaung Puspanita memberitahu, program berkenaan merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) politeknik itu.

"Kami mengagihkan bakul makanan kepada 12 penduduk di kawasan berkenaan bagi meringankan beban mereka," katanya.