PASIR PUTEH - Penduduk dari Kampung Batu Hitam, Pengkalan Pauh dan Daram Buaya di sini yang terjejas banjir pada Rabu memberitahu bencana di kawasan tersebut tidak lama serta cepat surut.
Tinjauan Sinar Harian pada Khamis di ketiga-tiga kampung itu mendapati banjir sudah surut sepenuhnya dan paras air Sungai Jeram kembali normal.
Penduduk, Kartini Muhammad, 48, berkata, setiap kali hujan lebat air sungai akan melimpah dan menyebabkan kawasan kediaman mereka banjir.
"Tetapi tidak lama, hanya memakan masa sehari sahaja, paling lama dua hari jika hujan berterusan.
"Hal ini kerana kampung kami, Pengkalan Pauh merupakan laluan air sungai. Bagaimanapun, ada penduduk yang pindah kerana rumah mereka rendah," katanya.
Menurut Kartini, pada Rabu sekitar jam 12 tengah hari air di hadapan rumahnya sedalam 0.5 meter.
Katanya, air mulai surut pada malam tadi dan kebetulan rumahnya tinggi jadi dia tidak perlu bersusah payah mengemas.
Bagi tukang kebun sekolah, Aidil Faizal Mat Hussin, 44, berkata, dia serta isteri dan empat anak berusia lapan hingga 11 tahun terpaksa berpindah dan menumpang rumah jiran buat sementara waktu.
"Semalam (Rabu) sekitar jam 11 pagi air Sungai Jeram melimpah sehingga memasuki ke dalam rumah sedalam 0.3 meter.
"Memikirkan saya perlu bekerja, kami mengambil langkah pindah ke rumah jiran yang lebih tinggi. Bimbang jika banjir kali ini lama kerana jarak rumah dan sungai hanya 20 meter," katanya.
Aidil Faizal berkata, bagaimanapun hari ini air sudah surut dan mereka dalam perancangan untuk pulang dan mencuci rumah.
Sementara itu, Fauzi Mohd Lazim, 37, pula berkata, kejadian pada Rabu menyebabkan dia bersama isteri dan dua anak berusia empat serta enam tahun panik kerana air naik secara mendadak.
Katanya, sebelum ini air tidak pernah melimpah ke dalam rumah tetapi kali ini berbeza sehingga memaksa mereka berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Changgai.
"Alhamdulillah hari ini air sudah surut, saya guna peluang ini untuk mencuci dan mengemas rumah.
"Kawasan ini sering banjir kerana kediaman kami terletak berhampiran sungai, namun ianya tidak lama hanya sehari, dua sahaja," katanya yang tinggal di Batu Hitam.