IPOH - Polis Perak memberi jaminan kawalan keselamatan pada tahap tertinggi sepanjang sambutan perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar dekat Gunung Cheroh di sini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, seramai 627 anggota ditempatkan di sekitar bandar raya Ipoh sepanjang perayaan itu bagi memastikan keselamatan lebih 350,000 pengunjung yang dijangka hadir bermula Rabu hingga Jumaat.
"Kita tahu apabila tempat tumpuan orang ramai, maka sudah pastilah ada beberapa pihak cuba mengambil kesempatan menggugat serta melanggar undang-undang dan peraturan.
"Jadi selain memastikan kelancaran aliran trafik, polis turut menjalankan beberapa operasi melibatkan pencegahan jenayah sama ada jenayah jalanan ataupun jenayah di luar upacara Thaipusam berlangsung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program High Profile Policing Polis Perak sempena sambutan Thaipusam peringkat negeri di Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh di sini pada Khamis.
Azizi berkata, setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan berhubung perlakuan jenayah berlaku di kawasan perayaan itu.
"Semua berada dalam keadaan baik dan saya memberi jaminan kepada semua pengunjung bahawa mereka boleh membuat lawatan dan pergerakan seperti biasa," katanya.
Beliau berkata, sempena Thaipusam ini, Kontinjen Perak menyediakan 5,000 bungkusan makanan dan 14,000 minuman kepada pengunjung.
Katanya, satu upacara sembahyang turut diadakan di khemah khas pasukan itu dihadiri pegawai kanan, pegawai rendah polis dan pegawai awam bergama Hindu bersama ahli keluarga masing-masing.
"Dalam lawatan hari ini, polis turut menyantuni pengunjung dengan memberi nasihat serta mengedarkan risalah keselamatan," katanya.
Sementara itu, pasangan suami isteri dari Belanda, Ids Van Dussen, 70, dan Lydia Lepez, 69, yang ditemui teruja merasai pengalaman pertama yang menarik apabila diberi peluang berarak bersama pembawa pedati.
"Sambutan perayaan di sini sungguh indah dan berwarna-warni.
"Mereka juga sangat ramah dan tidak lokek, ramai yang memberi makanan serta minuman secara percuma," katanya.