TAWAU -Seorang pekerja kafe putus kesemua jari tangan kanan selepas tersepit pada mesin pengisar daging dalam kejadian di sebuah premis di Taman Poh San di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, wanita berusia 22 tahun terbabit terpaksa menahan kesakitan selama lebih setengah jam sebelum pasukan bomba berjaya mengeluarkan tangannya dari mesin tersebut.
Iklan
Iklan
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.50 tengah hari.
Menurutnya, seramai 10 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh satu kilometer dari BBP Tawau.
"Pasukan bomba yang tiba di lokasi bertindak memotong mesin pengisar tersebut dan mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan tangan mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Katanya lagi, mangsa kemudian diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.
"Operasi ditamatkan pada jam 3.20 petang," katanya.