SHAH ALAM - Menteri Luar Negeri Palestin, Dr Riad Al-Maliki menzahirkan ucapan terima kasih buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh rakyat Malaysia di atas keprihatinan serta bantuan dihulurkan kepada warga Gaza, Palestin yang kini masih berhadapan dengan kekejaman rejim Israel.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, Riad turut menghargai pernyataan Malaysia di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara Negara Berkecuali (NAM).
"Riad mengucapkan penghargaan dan rasa terima kasih beliau atas luahan simpati dan sokongan moral yang disampaikan.
"Menurut beliau, sokongan dan bantuan berterusan rakyat Malaysia amat dihargai oleh rakyat Palestin yang lain,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Perkara itu dimaklumkannya ketika menghadiri Persidangan Selatan Ketiga Kumpulan Negara-negara G77 dan China di Kampala, Uganda baru-baru ini.
Ahli Parlimen Kimanis itu juga menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kerajaan dan rakyat di negara ini yang sentiasa mengikuti perkembangan di Palestin.
Tambah beliau, pihaknya akan terus berusaha untuk memberikan bantuan bagi meringankan penderitaan yang dialami penduduk di sana.
"Semoga konflik yang mengorbankan lebih 25,000 nyawa terutamanya wanita dan kanak-kanak selain kerosakan harta benda serta infrastruktur awam ini dapat dihentikan segera.
"Saya dan Riad berharap berharap persidangan ini dapat meyakinkan masyarakat dunia dan pemimpin-pemimpin negara lain tentang keperluan memberikan tekanan kepada Israel agar menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan mereka,” ujar Mohamad lagi.