KUALA LANGAT - Gara-gara berhenti untuk menukar pemandu dipercayai menjadi punca kemalangan maut melibatkan tiga kenderaan dalam kejadian di Kilometer 21.6 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.20 pagi ketika sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Chevrolet berhenti di lorong kecemasan lebuh raya terbabit.
"Siasatan mendapati kenderaan terbabit dari arah Port Dickson menghala ke Shah Alam itu berhenti disebabkan pemandu pacuan empat roda itu keletihan dan meminta rakannya yang berada di kerusi penumpang hadapan untuk memandu kenderaan itu.
"Mangsa kemudiannya keluar dari kenderaan terbabit dan menuju ke arah bahagian pemandu sebelum datang sebuah lori merempuhnya," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, mangsa kemudiannya tercampak ke tengah jalan akibat pelanggaran itu.
"Lori terbabit kemudiannya hilang kawalan sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan lain jenis Perodua Axia di laluan sama.
"Mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun itu kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis untuk menyalurkannya.
"Selain itu, sebarang info boleh juga disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 0111-8539116 atau 03-31872222," katanya.