Rakyat Palestin terpaksa kisar makanan haiwan ganti tepung gandum

Iklan
Orang ramai kisar bijirin menjadi tepung untuk dibuat roti di Kota Gaza pada Isnin di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan pejuang Hamas. Foto AFP

GAZA - Penduduk Palestin di utara Semenanjung Gaza mula mengisar makanan haiwan ternakan untuk membuat roti kerana kekurangan tepung gandum susulan Tel Aviv menyekat bantuan kemanusiaan.

Agensi Anadolu melaporkan bahawa hampir tiada bantuan kemanusiaan sampai ke bahagian utara Gaza, manakala rakyat Palestin yang tinggal di wilayah itu bergelut untuk mendapatkan makanan.

Iklan
Iklan

Makanan binatang ternakan dijual di utara Gaza untuk kegunaan manusia kerana bekalan tepung gandum yang terhad.

Beberapa video memaparkan rakyat Palestin terpaksa memakan roti yang diperbuat daripada makanan haiwan ternakan manakala kucing dan anjing dilihat menggigit-gigit mayat yang bergelimpangan di jalanan.

Iklan

Di bandar selatan Khan Younis, tindakan tidak berperikemanusiaan tentera Israel terus berlanjutan, membiarkan mayat rakyat Palestin mereput tanpa dikebumikan serta menghalang orang ramai daripada mengeluarkan mayat dari runtuhan.

Saksi mendakwa terdapat beberapa rakyat Palestin cuba kembali ke lokasi serangan untuk mencari jenazah insan tersayang tetapi menjadi sasaran kereta kebal Israel.

Iklan

Saksi juga mendakwa terdapat ambulans yang cuba membawa beberapa mayat ke Kompleks Perubatan Nasser di pusat bandar tetapi anggota paramedik terpaksa melarikan diri akibat diserang kereta kebal Israel.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa 2.2 juta penduduk di Semenanjung Gaza menghadapi risiko kebuluran.

Walaupun Israel membenarkan beberapa trak bantuan kemanusiaan masuk ke Semenanjung Gaza, trak ini diedarkan terutamanya di kawasan selatan Gaza manakala kawasan utaranya kekal terpinggir akibat pengepungan.

Sekurang-kurangnya 25,700 rakyat Palestin terbunuh manakala 63,740 lagi cedera sejak 7 Oktober tahun lalu.

Serangan rejim Israel menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal di tengah-tengah krisis kekurangan makanan, bekalan air bersih dan ubat-ubatan manakala 60 peratus infrastruktur di wilayah itu rosak atau musnah, menurut PBB. - Bernama/AA