Kota Bharu - Penduduk Kampung Pasir Jering, Kuala Krai di sini mula berjaga-jaga berikutan air naik selepas hujan lebat kira-kira lima hari lalu.
Penduduk, Mohd Saidi Jaafar, 57 berkata, sehingga jam 6.30 petang (hari ini) ada kediaman penduduk yang dinaiki air sehingga 0.3 meter di bahagian dapur.
Menurutnya penduduk juga terputus hubungan kerana jambatan Kampung Pasir Jering yang menjadi laluan utama ke bandar sudah ditenggelami air.
"Kami belum lagi berpindah tetapi dalam keadaan berjaga-jaga kerana hujan masih belum berhenti," katanya.
Bagaimanapun katanya, pemimpin setempat dan anggota keselamatan sudah memantau kawasan kampung itu.
Sebanyak tiga pusat pemindahan banjir dibuka di Kelantan membabitkan 126 keluarga dengan 377 mangsa berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Air Sungai Kelantan di Tangga Krai dicatatkan setinggi 20.96 meter manakala Sungai Semerak di Jambatan Melor setinggi 7.35 meter iaitu masing-masing di paras berjaga-jaga.
Media sebelum ini melaporkan hujan lebat di negeri ini mengakibatkan banjir di daerah Pasir Puteh namun situasi itu tidak lama dan ada penduduk yang sudah pulang ke rumah.