BENTONG - Seorang lelaki ditemui mati dalam sebuah kenderaan di Kilometer (KM) 88 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Kampung Benut menghala ke Kuala Lumpur di sini pada Khamis.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, mangsa ditemui dalam kereta jenis Volvo dengan keadaan enjin masih hidup dan gear D.
Menurutnya, kenderaan tersebut juga ditemui tersekat pada pembahagi jalan.
"Pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian ini pada jam 6.27 petang.
"Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian," kata beliau dalam kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, terdapat satu lelaki dewasa iaitu pemandu kereta ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta terbabit.
"Anggota terlibat membuat operasi memecahkan cermin dengan menggunakan peralatan paratect.
"Pintu berjaya dibuka dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat pemeriksaan ke atas mangsa dan didapati telah meninggal dunia," jelas beliau.
Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.