KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,658 mangsa banjir berlindung di 25 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu, Kelantan dan Pahang setakat 8 malam tadi.
Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 994 di 17 PPS, dengan 376 mangsa di dua PPS di Dungun, 253 mangsa di enam PPS di Besut, 183 mangsa di tiga PPS di Hulu Terengganu dan 182 mangsa di enam PPS di Setiu.
Iklan
Iklan
Di Kelantan, dua PPS dibuka di Tanah Merah menempatkan 50 mangsa dan sebuah PPS dibuka di Machang yang menempatkan 15 mangsa, sementara di Kuala Krai kekal 89 mangsa di dua PPS dan 350 mangsa di dua PPS di Pasir Puteh.
Pahang juga kekal dengan 160 mangsa di sebuah PPS di Kuantan.
Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.
Sungai terlibat ialah Sungai Johor di Kota Tinggi dan Sungai Sarang Buaya di Muar (Johor), Sungai Muda di Sik dan Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Kota Bharu (Kelantan), Sungai Pahang di Cameron Highlands, Sungai Kuantan dan Sungai Rompin (Pahang), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Klang di Petaling (Selangor), Sungai Besut dan Sungai Terengganu di Hulu Terengganu serta Sungai Dungun (Terengganu).
Nadma turut memaklumkan 18 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh antaranya di Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Pahang; Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor; dan Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Hulu Perak di Perak. - Bernama