PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mahu melangkah lebih jauh selepas mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Indonesia Masters pada Khamis.
Aksi pusingan kedua di Istora Senayan, pemain nombor 10 dunia itu tampil lebih garang menewaskan pencabar dari Hong Kong, Angus Ng Ka Long biarpun set pertama diasak hebat sebelum menang 22-20 ke atas pemain nombor 20 dunia tersebut.
Set kedua, Zii Jia yang menyingkirkan cabaran jagoan India, Srikanth Kidambi pada pusingan pertama tampil lebih konsisten mengutip mata untuk kemenangan 21-15 dalam masa 46 minit.
"Sebenarnya hari ini bukan perlawanan mudah kerana kami pernah dilatih jurulatih sama yang mengetahui corak permainan masing-masing.
"Hari ini saya dapat bermain dengan baik dan dapat mengawal permainan yang memberi kelebihan.
"Ini merupakan suku akhir kedua saya dan harap dapat dapat melangkah lebih jauh lagi,” katanya kepada BWF yang menempah slot suku akhir berdepan pemain Kanada, Brian Yang.
Sementara itu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah juga mengikuti jejak langkah Zii Jia mara ke pusingan ketiga.
Gandingan nombor 13 dunia itu mengesahkan kemaraan selepas menewaskan gandingan dari Perancis, Margot Lambert-Anne Tran, 21-14, 21-10 dalam aksi 31 minit.
Di suku akhir, Pearly Tan-M Thinaah akan menentang gandingan nombor lima dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.
Sementara itu, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing meneruskan cabaran negara dalam acara tersebut selepas menjinakkan rakan senegara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See.
Kian Meng-Pei Jing yang berstatus nombor 25 dunia menewaskan Peng Soon-Yee See gandingan ranking 35 tersebut, 21-12, 21-16 dalam masa 41 minit.
Kemenangan itu membolehkan Kian Meng-Pei Jing menentang pasangan nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong di pusingan seterusnya.
Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sebelum ini memulakan kempen langkah kanan pada Rabu apabila tidak perlu bermandi peluh selepas lawan dari Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin menarik diri gagal meneruskan momentum positif.
Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang berdepan beregu tuan rumah, Rehan Kusharjanto-Lisa Kusumawati, beregu nombor sembilan dunia itu bermula garang apabila menang 21-12.
Namun set kedua, Rehan-Lisa, kembali bangkit memberi tekanan kepada pilihan keenam kejohanan dengan kemenangan 21-13 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Rehan-Lisa yang dalam kelompok nombor 20 dunia dipacu sokongan penyokong-penyokong di laman sendiri memacu keunggulan untuk menang 21-14 dalam masa 60 minit.
Satu lagi beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut mengakhiri cabaran apabila tewas kepada Kim Won-ho-Jeong Na-eun dari Korea Selatan, apabila gandingan nombor 14 dunia itu tunduk kepada pilihan keempat kejohanan, 21-10, 21-16 dalam masa 33 minit.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao turut mengakhiri cabaran apabila tewas kepada pilihan ketiga kejohanan Anthony Sinisuka Ginting.
Jun Hao yang berstatus nombor 37 dunia tewas 15-21, 17-21 dalam masa 53 minit.
Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Kai Wun Tee turut tersingkir selepas tewas straight set kepada pilihan ketiga kejohanan, Fajar Alfian-Rian Ardianto, 21-18, 22-20 dalam aksi 44 minit.
Satu lagi beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien turut berakhir apabila tewas 21-15, 21-15 kepada gandingan China, Liu Sheng Shu- Tan Ning dalam aksi 39 minit.
Beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Haikal Nazri turut tersingkir selepas tewas straight set kepada beregu dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergard, 21-17, 21-19 dalam aksi 39 minit
Satu lagi beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi( turut mengakhiri cabaran apabila tewas kepada gandingan dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, 21-15, 21-11 dalam aksi 30 minit.