ISU penjawat awam hangat diperkatakan selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi mengumumkan bahawa Kabinet bersetuju menetapkan syarat tiada lagi skim pencen selepas ini.
Sebaliknya, pekerja baharu yang dilantik kelak perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sejak dulu, setiap kali berita berkaitan penjawat awam, pasti mendapat perhatian rakyat Malaysia termasuk yang bekerja di syarikat swasta.
Mungkin kerana penjawat awam ini dekat dengan kita. Misalnya, nak membuat kad pengenalan, membaharui pasport atau lesen memandu, yang menguruskannya di kaunter adalah penjawat awam. Begitu juga ketika kecil, kita dididik oleh guru-guru di sekolah kerajaan yang merupakan penjawat awam
Ketika negara berdepan pandemik Covid-19 lalu, penjawat awamlah yang menjadi barisan hadapan.
Jadi, tidak hairanlah ramai yang sangat prihatin dengan cadangan untuk memansuhkan skim pencen tersebut.
Jika skim pencen ini mansuh, tidak mustahil akan beri kesan jangka panjang kepada negara. Minat orang ramai untuk memohon bekerja akan merosot, seterusnya menimbulkan masalah kepada bidang-bidang penting seperti kesihatan dan pendidikan.
Namun, kita perlu memahami tekanan kewangan yang ditanggung kerajaan menerusi skim pencen ini. Bayaran pencen dianggarkan mencecah RM46 bilion pada tahun 2023 berbanding RM9 bilion pada 2010.
Satu jumlah yang besar dan ibarat ‘bom jangka’ kepada kewangan negara, bila-bila masa akan meletup sekiranya kerajaan tidak melakukan sesuatu.
Jadi, jika memansuhkan pencen ini satu-satunya langkah penjimatan, kerajaan perlu memanggil pihak berkepentingan untuk membuat satu analisa komprehensif tentang kesan-kesannya apabila ia dilaksanakan kelak. Bimbang ‘bom jangka’ yang lain pula meletup lebih awal.
Mungkin juga kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh supaya pemansuhan skim pencen ini dimulakan dalam kalangan wakil rakyat terlebih dahulu.
Tapi persoalannya, berapa ramai wakil rakyat yang akan mengangkat tangan bersetuju?