Piala Asia 2023: Thailand layak, Indonesia bertuah ke pusingan 16

Iklan
16 pasukan terbaik mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala Asia 2023. - Foto: AFC

GERGASI Asia Tenggara, Thailand mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir Piala Asia 2023 selepas seri tanpa jaringan menentang juara tiga kali Arab Saudi pada perlawanan terakhir Kumpulan F di Stadium Al Rayyan, di Al Rayyan, Qatar malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan Arab Saudi mengungguli kumpulan dengan tujuh mata diikuti Thailand dengan lima mata manakala Oman gagal menempah slot ke pusingan kalah mati, selaku salah satu pasukan ranking ketiga terbaik selepas seri 1-1 dengan Kyrgyzstan.

Iklan
Iklan

Oman menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga dengan dua mata selepas seri dua kali dan kalah sekali dan Krygyzstan tercorot dengan satu mata.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Arab Saudi, Roberto Mancini membuat sembilan pertukaran pada kesebelasan utama Green Falcons dengan penjaga gol Raghed Najjar membuat penampilan sulung bersama pasukan itu.

Iklan

Pada awal perlawanan, Arab Saudi mendapat peluang penalti tetapi penjaga gol skuad Gajah Perang, Saranon Anuin, menafikan percubaan Abdullah Radif pada minit ke-12.

Walaupun beberapa gol yang tidak dibenarkan kerana keputusan ofsaid di kedua-dua pihak, kedua-dua pasukan tidak berjaya memecahkan kebuntuan.

Iklan

Penyerang Arab Saudi, Talal Haji mencipta sejarah selepas masuk sebagai pemain gantian separuh masa kedua pada usia 16 tahun 131 hari, menjadi pemain kedua termuda muncul di pentas Piala Asia selepas Munaf Ramadan dari Syria (16 tahun 45 hari) ketika menentang Arab Saudi pada tahun 1988.

Meskipun saling berbalas serangan namum Thailand, bimbingan Masatada Ishhii dari Jepun kekal sebagai salah satu daripada dua pasukan yang tidak meloloskan sebarang gol di peringkat kumpulan bersama tuan rumah Qatar.

Sementara itu, Kyrgyzstan dan Oman mengakhiri perjalanan mereka dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Abdullah bin Khalifa.

Oman, yang memerlukan kemenangan untuk menjamin tempat ke saingan kalah mati, mendahului dengan gol pembukaan minit kelapan Muhsen Al Ghassani manakala jaringan penyamaan pada penghujung perlawanan oleh Joel Kojodi di minit ke-91 menghancurkan harapan pasukan bimbingan Branko Ivankovic.

Keputusan itu menyaksikan Indonesia muncul sebagai penerima manfaat yang ketara, memperoleh tempat dalam pusingan 16 sebagai salah satu daripada empat pasukan terbaik di tangga ketiga kumpulan.

Indonesia yang dibimbing Shin Tae-yong dari Korea Selatan, menduduki tempat ketiga dalam kumpulan dengan tiga mata selepas mencatat satu-satunya kemenangan ke atas Vietnam 1-0. - Bernama