SHAH ALAM - Kerap mengeluarkan kata kesat atau memberi reaksi agresif ketika berdepan masalah adalah antara ciri lelaki berisiko menjadi pendera atau kaki pukul.
Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Haslinda Abdullah berkata, wanita perlu menjauhi lelaki sedemikian bagi mengelak daripada menjadi mangsa dera atau dibunuh.
"Mungkin agak sukar bagi wanita melihat perangai sebenar pasangannya pada peringkat awal perkenalan tetapi boleh menilai sendiri dengan sekecil-kecil perkara.
"Contohnya, sikap tidak sabar lelaki ketika memandu kereta dan mengeluarkan kata-kata kesat atau reaksi agresif ketika berhadapan masalah.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis menemui rangka tidak sempurna di sebuah rumah terbiar di Johor dipercayai milik ibu tunggal, Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella yang dilaporkan hilang pada Disember tahun lalu.
Anak sulung kepada arwah, Eusof, 5, dikatakan kerap mengadu ibunya sering dipukul teman lelakinya ketika mereka keluar.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan motif pembunuhan Bella akibat cemburu dan sakit hati manakala punca kematian disebabkan keretakan di tengkorak.
Sementara itu, menurut Pegawai Psikologi Kanan UPM, Siti Fatimah Abdul Ghani, sikap individu mendera hanya boleh dikesan apabila sudah mempunyai komitmen atau tempoh masa perhubungan semakin berkembang.
Ujarnya, ia boleh dinilai menerusi corak pemikiran yang mempunyai sifat ingin mengawal, berasa benar dan mahu menguasai perhubungan melalui peraturan atau dalam erti kata lain, narsistik.
"Lebih teruk apabila mereka (lelaki) sudah berani menggunakan kekerasan dari segi lisan mahupun tindakan kekerasan seperti penderaan fizikal, emosi, lisan, seksual dan kewangan.
"Wanita yang menjadi mangsa dera dinasihatkan supaya sentiasa menyimpan rekod tarikh dan masa insiden berlaku serta mendapatkan nasihat perundangan.
"Undang-undang melindungi wanita hampir sama dengan lelaki tetapi ia sangat penting dan sebarang penderaan perlu dilaporkan kepada doktor atau polis tetapi pastikan setiap kecederaan termasuk butiran penderaan dicatat,” jelasnya.