PASIR PUTEH - Reka bentuk seakan-akan sebuah kapal jika dilihat dari pandangan atas dan dikelilingi lagun serta pantai di hadapannya memberikan pengalaman seolah-olah berada di tengah lautan.
Itu pengalaman yang mungkin dirasai pengunjung yang menjadikan Tok Aman Bali Resort (TABR) di Pasir Puteh sebagai destinasi rehlah di Kelantan.
Terletak berhampiran pesisir Pantai Tok Bali dan Bisikan Bayu, lokasi ini menjanjikan suasana percutian yang kondusif dan mampu menghilangkan penat lelah bekerja.
Desiran ombak, tiupan angin sepoi sepoi bahasa dan kicauan burung melengkapkan lagi pakej percutian unik di situ.
Kepelbagaian aktiviti seperti berkayak, berbasikal di pesisir pantai, paddle boat menjanjikan pengalaman menarik sepanjang berada di TABR.
Pengurus Operasinya, Wan Karimah Wan Mohamed Noor berkata, TABR mempunyai 100 bilik yang mewah, eksklusif mengikut harga mampu milik serendah RM200 untuk satu malam.
"Selain itu, kita turut tawarkan bilik untuk keluarga yang boleh dihuni antara tiga hingga lima orang.
"Melengkapkan lagi pakej percutian di TABR ialah landskap dan pemandangan yang cantik selain menawarkan kemudahan kolam mandi.
"Menariknya, kolam mandi kami merupakan yang terbesar di Kelantan. Ia pastinya menjanjikan pengalaman menarik untuk bergembira bersama dengan anak-anak,” katanya.
Menurut beliau, kemudahan SPA dengan pakej menarik bermula dari urutan, rawatan kecantikan serta mandi bunga memberikan kelainan kepada mereka yang menginap di situ.
Ujarnya, pada masa sama TABR menyediakan Club House yang menawarkan indor games seperti snooker, dart dan permainan tradisional termasuk congkak.
Wan Karimah memberitahu, sajian makanan tradisional Kelantan turut ditawarkan kepada pelanggan.
"TABR turut menawarkan steamboat berhampiran kawasan lagun yang menjanjikan pemandangan menarik kepada pelanggan selain hembusan bayu pantai yang mendamaikan,” katanya.
Selain TABR, Tok Bali turut terkenal sebagai ‘syurga’ makanan kepada pelancong.
Antara yang popular di kawasan itu ialah ikan bakar dan hidangan nasi dagang untuk sarapan pagi.
Tidak cukup dengan itu, gerai jualan makanan laut seperti kerang, tiram, lokam dan sebagainya turut melengkapkan pakej percutian di TABR.
Suasana di Tok Bali akan menjadi lebih havoc pada Jumaat kerana terdapat pasar malam yang menawarkan pelbagai pilihan makanan dan pakaian terpakai antara terbesar di Kelantan.