KUANTAN - Seorang lelaki maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Batu 54, Blue Valley, Cameron Highlands pada Jumaat.
Dalam kejadian yang dilaporkan jam 2.51 pagi itu, empat yang lain termasuk seorang wanita dikhuatiri masih tertimbus.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa-mangsa tertimbus.
Menurutnya, anggota terlibat berdepan cabaran apabila terpaksa berjalan kaki sejauh tiga kilometer ke lokasi kejadian.
"Hasil pemeriksaan di lokasi telah menemui seorang lelaki yang tertimbus manakala operasi pencarian mangsa lain masih diteruskan," katanya.