PENYOKONG Korea Selatan meluahkan rasa tidak puas hati selepas pasukan mereka dimalukan Harimau Malaya apabila seri 3-3 pada perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 pada Khamis.
Laman Instagram Thekfa milik Persatuan Bola Sepak Korea Selatan dihujani komen negatif penyokong Korea Selatan yang tidak percaya pasukan Malaysia yang berada di ranking ke-130 dunia berjaya mengikat Taegeuk Warriors.
Malah, mereka juga menyalahkan taktikal pengendali pasukan itu, Jurgen Klinsmaan yang disifatkan gagal memacu pasukan itu lebih garang.
Penyokong Korea, do_2.xin menulis di Instagram:"Saya tidak kisah kalau Bahrain atau Jordan. Tetapi dengan Malaysia memang memalukan."
Choiyeong yang turut membalas komen tersebut menulis:"Jika menang sekali pun, sepatutnya menang 10-0."
Seorang lagi penyokong Korea, Leetaehoofficial pula tidak percaya negaranya melepaskan tiga gol kepada Malaysia.
"Pasukan yang tidak berjaya menjaringkan sebarang gol dalam kejohanan tetapi berjaya menjaringkan tiga gol ke atas Korea," katanya.
Bagaimanapun, keputusan seri itu tidak menjejaskan Korea Selatan apabila pasukan itu tetap mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dan akan bertemu Arab Saudi minggu depan.