Cabaran getir dunia Islam semasa

Iklan
UMAT Islam pada hari ini berhadapan dengan cabaran yang bertujuan untuk menjauhkan Muslim dari petunjuk ALLAH SWT. -Gambar hiasan/ Gambar kecil: Nurul Atiqah Ilyani (atas, kanan) & Dr Mohd Roslan

Kembalikan perpaduan ummah elak terjebak perkara yang menjauhkan Muslim daripada petunjuk Ilahi

BERBICARA tentang dunia Islam, bayangan tentang kawasan atau tempat yang diperintah dan dihuni umat Islam ‘menari-nari’ dalam ruang fikiran. Begitulah gambaran kasar yang terpateri kemas dalam ingatan.

Jika diteliti, perkembangannya sudah berlaku semenjak zaman Rasulullah SAW sehinggalah ke hari ini. Tidak kiralah sama ada dari aspek politik, ekonomi mahupun sosial.

Iklan
Iklan

Dari satu sudut, dunia Islam boleh membawa tafsiran kepada tempat permulaan ketamadunan Islam dan perkembangannya.

Dalam konteks hari ini, Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyatakan, maksud dunia Islam adalah lebih universal ataupun menyeluruh. Ia tidak hanya tertumpu kepada perkembangan Islam di suatu tempat sahaja, malahan juga bersangkut paut dengan keadaan umat Islam dan tanah airnya.

Iklan

Mutakhir ini, dunia digemparkan dengan konflik Kashmir, isu minoriti umat Islam khususnya di China dan India. Ia disusuli dengan penjajahan dan kezaliman ke atas Palestin serta rakyatnya, di samping pelbagai isu lain.

Semua yang berlaku itu benar-benar mencabar kesabaran Muslim seantero dunia. Ramai mula sedar dan bangkit bahawa kegemilangan dunia Islam perlu dikembalikan semula dengan tekad penyatuan umat secara keseluruhannya.

Iklan

Ujian dan rintangan

Benar, menuturkan dan melontarkan pandangan memang mudah, tetapi sukar untuk direalisasikan. Apatah lagi sekarang isu kelemahan umat Islam sedang diperdebatkan.

Masakan tidak, pada hari ini semakin hari semakin bertambah cabaran mendepani gaya hidup sebagai Muslim waima menghuni di negara Islam ataupun tidak.

Ditambah pula dengan ujian dan cabaran yang berlaku terhadap dunia Islam itu sendiri.

Pendek kata, ada sahaja rintangan perlu dilalui dan onak yang harus direntasi dari zaman ke zaman yang mana tujuan utamanya hanya satu iaitu menjauhkan umat Islam dari petunjuk ALLAH SWT.

Image ID 197547906 TANAMKANLAH sikap ambil tahu dan cakna dalam diri setiap individu Muslim berkaitan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi menstabilkan semula kedudukan umat Islam. -Gambar hiasan

Salah satu faktornya adalah dengan memecahbelahkan Muslim mengikut bangsa dan kaum. Rentetan itu, lahirlah umat Islam yang lupa diri, kurang kekuatan jiwa dan gemar mencontohi gaya hidup Barat.

Misalnya, cara berpakaian wanita mahupun lelaki Muslim di negara ini semakin terdedah dan mencolok mata kerana terlalu mengagungkan fesyen Barat sehingga mengabaikan tuntutan syariat dalam menutup aurat.

Oleh yang demikian, tercemarlah imej Muslim yang berpunca daripada pengaruh-pengaruh negatif dan tidak bermoral itu. Lebih-lebih lagi, kemerosotan budaya dan moral boleh menjadi halangan kepada umat Islam untuk bersatu padu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa serta kaum.

Di samping itu, sikap segelintir umat Islam yang kurang mengamalkan cara hidup Islam sebenar dan sering bertelagah antara satu sama lain hingga menyebabkan perpecahan ummah menambah ‘rencah’ keretakan.

Iktibar sejarah lampau

Perebutan kuasa politik juga menjadi salah satu punca perpecahan ummah kerana segelintir pemimpin bersikap lepas tangan dan mementingkan diri sendiri demi kemasyhuran dan kekayaan semata-mata. Secara tidak langsung, jurang sesama Muslim juga akan terkesan dan penyatuan ummah sukar untuk dibangunkan.

Sebagai solusinya, umat Islam sewajarnya mengambil iktibar daripada sejarah-sejarah lampau yang membuktikan perpaduan,

penyatuan dan persefahaman memainkan peranan sangat penting dalam mengekalkan kekuatan dunia Islam.

Maka, antara inisiatif yang terbaik adalah dengan menanamkan sikap ambil tahu dan cakna dalam diri setiap individu Muslim berkaitan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi menstabilkan semula kedudukan umat Islam.

Hal itu sedikit sebanyak dapat meningkatkan kualiti para pemimpin dan generasi pada masa akan datang. Di samping itu, perpaduan juga dapat dipupuk dalam kalangan umat Islam.

Seterusnya, kerajaan juga perlu berusaha menghapuskan tempat-tempat atau pusat-pusat yang boleh menyebabkan gejala sosial berlaku. Langkah itu dapat menyuburkan akhlak mulia dan mewujudkan pergaulan yang harmoni antara setiap individu.

Tindakan yang bertepatan dengan amar makruf nahi munkar iaitu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran merupakan salah satu usaha untuk mewujudkan kemaslahatan bersama termasuk kepada masyarakat bukan Islam juga.

Sewajarnya umat Islam cakna akan tanggungjawabnya sebagai seorang khalifah di muka bumi ini bagi membawa keamanan dan mengamalkan Islam sebagai cara hidup yang benar.

SEMUA Muslim perlu bekerjasama bagi mengembalikan semula kegemilangan dunia Islam seperti dahulu demi kebaikan bersama.

Usaha tersebut perlu dipupuk dengan semangat yang jitu bermula dari peringkat individu Muslim sehinggalah melibatkan peringkat keluarga, masyarakat, kerajaan dan antarabangsa serta semua negara Islam agar kita sentiasa bersedia untuk berdepan dengan pelbagai cabaran bagi menjayakan misi sebagai umat terbaik.

***Nurul Atiqah Ilyani Mohamad Tan ialah Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya & Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor ialah Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya