Dua lelaki dicekup bersama dadah lebih RM7,000

Iklan
Dadah yang dirampas susulan penahanan dua lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tersusun Melayu Jerkoh, Benta di sini semalam.

LIPIS - Polis menahan dua lelaki bersama dadah dianggarkan seberat 197.8 gram dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tersusun Melayu Jerkoh, Benta di sini semalam.

Kedua-dua suspek berusia 34 dan 48 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis jam 12 tengah hari ketika berada di rumah berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, dalam serbuan tersebut, polis menemui dan merampas dadah jenis eramin 5 seberat 162.31 gram, 34.26 gram heroin dan 1.23 gram pil kuda dengan anggaran nilai keseluruhan RM7,150.

"Kami turut merampas wang tunai RM200 dan sebuah alat timbang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, penahanan suspek yang berasal dari Lipis dan Raub itu susulan laporan berhubung aktiviti pengedaran dadah di rumah berkenaan sebelum serbuan dilakukan.

"Suspek pertama ditahan ketika keluar melalui pintu dapur dan hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu menemui dadah jenis heroin seberat 23.46 gram dan 500 biji pil eramin 5, sejumlah wang tunai dan alat penimbang dalam beg pinggang yang dipakainya.

Iklan

"Suspek kemudian membawa anggota ke bilik tidurnya dan mendapati ada seorang lelaki (suspek kedua) dalam bilik berkenaan," katanya.

Azli berkata, hasil pemeriksaan di dalam bilik tidur membawa kepada penemuan dadah jenis heroin dengan anggaran berat 10.80 gram dan 10 biji pil kuda.

"Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan hasil semakan mendapati suspek pertama memiliki tujuh rekod lampau berkait kes dadah manakala suspek kedua dengan 10 rekod lampau juga melibatkan dadah.

"Kedua-dua suspek yang masih bujang itu turut mengaku terlibat dalam penagihan jenis heroin," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.