NILAI - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menunjukkan solidaritinya kepada Palestin dan kali ini menerusi program 'Quran Hour For Gaza' di Kompleks Islam Tuanku Muhriz di USIM baru-baru ini.
Program berkenaan diadakan melalui Sekretariat Fakulti Sains & Teknologi (SekreFAST) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Sekretariat Pusat Islam (SPI), Rumah Ngaji Negeri Sembilan (RNNS), Wanita Perkim Seremban (WPS) & Malaysia Women Coalition Al-Quds Palestine (MWCQP).
Bekas Presiden MWCQP, Dr Fauziah Hassan berkata, semua pihak perlu terus menyebarkan maklumat dan informasi tentang Gaza kepada dunia sekali gus menunjukkan bantahan atas kekejaman dilakukan.
Menurutnya, inisiatif itu juga merupakan satu langkah proaktif untuk mengatasi serangan pemikiran terhadap situasi Gaza mengenai tanggungjawab sosial manusia.
"Kita bersyukur anak-anak di Malaysia diberikan peluang menuntut ilmu sedangkan anak-anak di Gaza dimatikan hak pendidikan mereka dengan menghancurkan fasiliti pendidikan sehingga aktiviti pengajaran tidak dapat dijalankan.
Berkenaan program diadakan beliau berkata, pelbagai informasi yang membuka minda berkaitan Gaza dikongsikan bagi menyatukan ummah dalam satu matlamat iaitu memberi sokongan dan melahirkan generasi yang cakna terhadap isu semasa terutamanya berkaitan Gaza.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penasihat program, iaitu Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Sakinah Ali Pitchay serta barisan mahasiswa USIM yang sudi menyahut cabaran mengadakan program Quran Hour for Gaza secara bersemuka.
"Selain dari memberikan kesedaran, setiap orang digalakkan memberi bantuan mengikut tahap kemampuan mereka.
"Ini kerana bukan semua orang dapat membantu melalui sumbangan wang tetapi sebaliknya boleh dilaksanakan dengan niat, doa, solidariti dan harapan," katanya.
Sementara itu bacaan al-Quran diketuai oleh 12 pelajar dan perkongsian tadabbur Surah al-Insan dikendalikan mahasiswa Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Faris Muzammil.
Menerusi surah tersebut dinyatakan"Jangan sesekali berputus asa dengan ujian Allah kerana kemenangan akan datang di hujung, Insya Allah kemenangan itu pasti besar dan bermakna. Maka teruskan berusaha kerana Pertolongan Allah tidak pernah salah alamat”.