Tipu pelaburan rekod kerugian RM472 juta, 5,389 kes

Iklan
Ramli ketika sidang akhbar kes penipuan pelaburan di Pejabat JSJK Bukit Aman pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Trend penipuan pelaburan dalam talian terus mencatatkan kerugian tertinggi pada tahun lalu dengan nilai RM472 juta membabitkan 5,389 kes.

Keadaan ini terus membimbangkan apabila sebanyak RM44 juta kerugian telah dicatat bagi tahun ini setakat 15 Januari lalu.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, terdapat beberapa modus operandi digunakan sindiket penipuan pelaburan ini termasuk menggunakan nama individu berpengaruh seperti selebriti dan agamawan untuk mencari mangsa.

Menurutnya, antara penipuan yang sering ditawarkan iaitu pelaburan berasaskan saham, forex dan matawang atau aset digital.

Iklan

"Sebagai contoh, bagi pelaburan berasaskan saham, sindiket akan menggunakan media sosial sebagai medium untuk mengiklankan skim pelaburan.

"Melalui sistem algoritma yang diwujudkan oleh media sosial, iklan skim pelaburan tersebut dihantar kepada sasaran yang berpotensi untuk menjadi mangsa.

Iklan

"Mangsa yang melihat iklan pelaburan akan menekan pautan yang tertera dan seterusnya berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Selain itu, Ramli berkata, ada juga penipuan pelaburan yang menawarkan pelaburan tanpa risiko serta jaminan keuntungan yang tinggi telah mengakibatkan ramai individu tertarik.

Jelasnya, mereka yang berada dalam lingkungan 60 tahun ke atas lebih mudah menjadi sasaran mangsa penipuan.

"Jumlah ini merupakan peningkatan 213 peratus berbanding tahun 2022 yang hanya mencatatkan jumlah 237 individu dari kumpulan umur yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah melaksanakan 4,170 operasi dan 3,409 tangkapan tahun lalu khusus untuk menumpaskan sindiket pelaburan.

Katanya, bagi memastikan kegiatan penipuan pelaburan ini dapat dibendung, PDRM ingin mengingatkan bahawa setiap pelaburan yang tulen mempunyai risiko kerugian, berbeza dengan pelaburan penipuan yang tawar untung lumayan dalam masa singkat.

"Carilah ilmu pengetahuan berkaitan pelaburan dan fahami bentuk-bentuk pelaburan yang boleh disertai.

"Paling utama, jangan sesekali menyertai skim pelaburan yang tidak dilesenkan atau tidak diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti,” katanya.