KUANTAN - Kerajaan akan melaksanakan projek rintis pembelajaran Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) selama lima hari seminggu berbanding tiga hari sahaja sekarang pada tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, projek rintis itu akan melibatkan tujuh sekolah kebangsaan setiap negeri dengan tempoh pelaksanaan selama setahun.
Menurutnya, langkah itu dibuat bagi menjadikan kelas KAFA sebagai pengajian sepenuh masa dengan mengambil contoh seperti sekolah agama di Johor Bharu.
"Kalau projek perintis ini berjaya, kita akan terus laksanakan di seluruh sekolah dengan menambah baik kokurikulum yang lebih teratur," katanya selepas program mengedarkan kalendar 2020 di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan hari ini.
Pada program tersebut, sebanyak 450 kalendar 2020 telah diedarkan kepada peniaga dan orang ramai yang mengunjungi pasar di UTC Kuantan.
Sementara itu Fuziah berkata, langkah itu juga secara tidak langsung dapat menyerap masuk guru KAFA yang sedia ada ke jawatan sepenuh masa.
Jelasnya, bagaimanapun perancangan tersebut di peringkat kajian dan menyediakan pelan kokurikulum serta waktu mengajar sebelum dilaksanakan.
"Kalau hari ini kita dapati guru KAFA hanya mengajar tiga hari seminggu dan mereka dilihat bekerja bekerja secara 'part time' (separuh masa) dan ia menyukarkan untuk mereka diserap masuk ke jawatan kontrak kerana tidak mencukupi syarat.
"Justeru, kita sudah mewujudkan 'task force' selama enam bulan sejak 2018 bagi membuat kajian mengenai kokurikulum dan waktu mengajar guru KAFA apabila diserapkan secara sepenuh masa termasuk projek perintis ini," katanya.