KUALA SELANGOR - Kira-kira 100 penduduk dan penyokong Perikatan Nasional (PN) menghantar memorandum kepada Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi bagi meluahkan rasa kesal dengan tindakan pemimpin itu yang menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Seorang penduduk, Azlan Mohd Yusof, 51, berkata, rakyat di Tanjong Karang kecewa dengan kenyataan Zulkafperi yang beranggapan seolah-olah mereka 'dahagakan' peruntukan.
"Bukan semua rakyat di Tanjong Karang seperti apa yang digambarkan, sebaliknya kami kesal apabila beliau (Zulkafperi) sendiri jarang turun padang bertemu rakyat," katanya selepas Penyerahan Memorandum dan Perhimpunan Bantah Zulkafperi di Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Karang di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun, memorandum itu hanya diletakkan di celah pintu hadapan berikutan tiada pegawai yang berada di pejabat berkenaan.
Dakwa Azlan, rata-rata penduduk di Parlimen itu tidak mengenali Zulkafperi dan adalah wajar sekiranya beliau meletak jawatan sebagai ahli Parlimen.
Jelas beliau, penduduk di Parlimen itu tidak memerlukan pemimpin seperti Zulkafperi yang dianggap bukan anak jati tempatan.
"Kalau tanya jalan kampung dan surau pun mungkin beliau tak tahu kerana menang atas tiket simpati disebabkan (bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang) Tan Sri Noh Omar tidak tercalon mempertahan kerusi dimenangi sebelum ini," katanya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha PN Bahagian Tanjong Karang, Adib Amat Mustakim berkata, pengumuman Zulkafperi itu tidak menghormati jentera yang telah bertungkus lumus memenangkan beliau semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Kami jentera daripada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Pas yang telah bertungkus lumus dan bekerja keras berkempen untuk kemenangan beliau.
"Undian dan sokongan kami beri atas dasar kepercayaan kepada kemampuan PN untuk memegang tampuk pemerintahan di negara ini," jelas beliau.
Bagaimanapun dakwanya, sejak memperoleh kemenangan dan diangkat menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang, Zulkafperi tidak turun padang dan tidak langsung mengambil kisah kesusahan dialami rakyat.
"Walaupun berkali-kali diasak oleh rakyat untuk turun padang, beliau tidak endah permintaan kami," jelasnya.
Ketua Serikandi Bersatu Bahagian Tanjong Karang, Haslina Hussin berkata, Zulkafperi yang memenangi kerusi Parlimen juga tidak membuka Pusat Khidmat Parlimen selama hampir setahun tanpa alasan munasabah sehingga rakyat tidak mempunyai saluran untuk mengadukan masalah
"Kami berasa terguris apabila mandat yang diberi oleh kami dikhianati selain rasa terhina apabila sokongan dan undian kami yang setia pada PN dijadikan wadah bagi memenuhi agenda peribadi.
"Jangan cuba menipu kami kononnya mahu membantu dengan peruntukan daripada Kerajaan Madani sedangkan masalah kami pun tidak ambil tahu.
"Kami menuntut beliau meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Tanjong Karang dan mengosongkan kerusi ini bagi kami memilih pemimpin lebih berintegriti," tegas beliau.